Penambahbaikan Dilaksana Sebelum Projek Jalan Riam Hill Diserahkan
MIRI: Beberapa aspek penambahbaikan akan dilaksanakan terlebih dahulu sebelum Projek Pembaikan Cerun dan Pembinaan Semula Parit Konkrit Bertetulang di Jalan Riam Hill diserahkan, bagi memastikan projek memenuhi spesifikasi yang ditetapkan serta berfungsi dengan baik dalam jangka panjang.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, walaupun projek berkenaan kini berada di peringkat akhir pelaksanaan, beberapa komponen masih memerlukan penelitian lanjut sebelum proses penyerahan dibuat.
“Yang penting sebelum diserahkan, semua perkara perlu diselesaikan terlebih dahulu. Kontraktor dan agensi berkaitan perlu memastikan kerja yang dilaksanakan mematuhi spesifikasi yang ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan tapak ke Projek Pembaikan Cerun dan Pembinaan Semula Parit Konkrit Bertetulang di Jalan Riam Hill, di sini pada Jumaat.
Menurut beliau, pihak kontraktor bersama Jabatan Kerja Raya (JKR), Majlis Bandaraya Miri (MBM) dan agensi berkaitan telah diminta meneliti beberapa aspek teknikal yang dikenal pasti sepanjang lawatan tersebut.
Dato Sri Lee berkata, antara perkara yang diberi perhatian ialah kerja penstabilan cerun, khususnya di bahagian tanah tambakan yang masih terdedah kepada risiko hakisan sekiranya tidak dilaksanakan langkah perlindungan yang bersesuaian.
Menurut beliau, langkah seperti penanaman rumput atau kaedah kawalan hakisan yang sesuai perlu dipertimbangkan bagi mengurangkan risiko hakisan tanah dan memastikan kestabilan cerun.
Beliau turut memaklumkan satu lagi pemeriksaan tapak akan dijalankan selepas kerja-kerja penambahbaikan selesai bagi memastikan semua komponen projek memenuhi keperluan teknikal sebelum diserahkan.
Projek bernilai RM449,800 itu dilaksanakan menggunakan Dana Kecemasan Kerajaan Sarawak dengan penyelarasan Jabatan Kerja Raya (JKR), melibatkan pembinaan semula sistem saliran yang runtuh, penstabilan cerun serta pembinaan semula parit konkrit bertetulang jenis cascade drain sepanjang kira-kira 61 meter.
Projek tersebut kini berada di peringkat akhir pelaksanaan dan dijangka siap sepenuhnya pada penghujung bulan ini. -EDISI UKAS