Agrofest Perkasa Agromakanan, Sebauh Berpotensi Jadi Hab Pengeluaran Nangchem
SEBAUH: Agrofest Sebauh 2026 terus memperkukuh agenda pembangunan sektor agromakanan Sarawak menerusi pemindahan teknologi, perkongsian ilmu dan pengembangan pasaran, di samping membuka peluang kepada Sebauh untuk muncul sebagai kawasan pengeluaran nangchem utama di negeri ini.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, Agrofest berfungsi sebagai platform strategik yang menghubungkan petani dengan Jabatan Pertanian serta agensi berkaitan bagi mendapatkan bimbingan teknikal, khidmat nasihat dan teknologi terkini untuk meningkatkan produktiviti serta pendapatan.
“Agrofest bukan hanya untuk menjual dan bukannya untuk promosi semata-mata. Inilah masanya orang ramai mendapatkan panduan daripada Jabatan Pertanian mengenai apa yang perlu diusahakan dan bagaimana membangunkan kawasan pertanian mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Agrofest Sebauh 2026 di Pekan Sebauh, pada Jumaat.
Menurut beliau, pembangunan sektor agromakanan memerlukan kerjasama berterusan antara kerajaan dan komuniti bagi memastikan tanah pertanian dimanfaatkan secara lebih produktif, selain meningkatkan daya saing hasil tempatan melalui penggunaan teknologi dan amalan pertanian moden.
Sementara itu, Pengarah Pertanian Sarawak, Dominic Chunggat berkata, Jabatan Pertanian sedang melaksanakan kajian bagi membangunkan Sebauh sebagai kawasan pengeluaran nangchem berikutan permintaan terhadap tanaman tersebut yang terus meningkat, termasuk dari pasaran Brunei Darussalam.
Beliau berkata, perkembangan itu membuka peluang kepada lebih ramai petani untuk menceburi tanaman bernilai tinggi sekali gus memperkukuh rantaian bekalan agromakanan negeri.
“Kita menjalankan kajian untuk menjadikan Sebauh sebagai kawasan pengeluaran nangchem. Permintaan terhadap nangchem dari Sebauh juga amat menggalakkan, termasuk dari Brunei Darussalam. Ini merupakan petanda yang baik untuk kita melibatkan lebih ramai petani dalam industri ini,” katanya.
Beliau turut menggalakkan pengusaha mendapatkan pensijilan Malaysian Good Agricultural Practices (MyGAP) bagi memastikan hasil pertanian memenuhi piawaian keselamatan makanan, selain meningkatkan keyakinan pengguna dan daya saing produk di pasaran.
Dalam masa yang sama, petani disaran memberi tumpuan kepada tanaman yang mempunyai permintaan tinggi supaya dapat menjana pendapatan yang lebih mampan serta menyokong agenda keterjaminan makanan Sarawak.
Turut hadir, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Martin Ben, Setiausaha Tetap Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD) Datu Sirai Daha, Residen Bahagian Bintulu Datu Nyurak Keti, Pegawai Daerah Sebauh Thaddeus Ling Bartholomew Allu dan Pegawai Pertanian Bahagian Bintulu Jackson Nanta Barnabas Baie. -EDISI UKAS