Premier Sarawak Tunaikan Solat Jumaat Bersama 3,000 Jemaah Di Masjid An-Nur Sibu
SIBU: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menunaikan solat Jumaat bersama kira-kira 3,000 jemaah di Masjid An-Nur Sibu, di sini, hari ini.
Ketibaan beliau kira-kira jam 12.30 tengah hari disambut oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka Datuk Dr Annuar Rapaee serta Pengerusi Jawatankuasa Masjid An-Nur Ustaz Ghaiazra Mohammad Ali.
Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar dan Orang Besar Temenggung Dato Sri Wan Hamid Edruce.
Khutbah Jumaat bertajuk ‘Keistimewaan Hari Jumaat dan Solat Fardu Jumaat’ serta solat diimamkan oleh Imam Besar Negeri Sarawak, Dato Mustapha Kamal Ahmad Fauzi.
Selesai menunaikan solat, Datuk Patinggi Abang Zohari meluangkan masa kira-kira 20 minit beramah mesra dan bersalaman dengan para jemaah serta menandatangani buku pelawat masjid sebagai kenang-kenangan.
Beliau dijadual meneruskan pengisian program sebelah petang dengan menghadiri Majlis Penyampaian Pingat Perkhidmatan Setia Zon Sibu, Kapit dan Mukah di Hotel RH, sebelum menghadiri Majlis Makan Malam Bersama Komuniti Sibu di Hotel Kingwood, malam ini.
Premier Sarawak berada di Sibu dalam rangka lawatan kerja kerja rasmi, termasuk bagi merasmikan Program Sarawakku Sayang (SKS) Peringkat Bahagian Sibu yang dijadualkan berlangsung di Dataran Tun Tuanku Haji Bujang, pada pagi Sabtu. -EDISI UKAS