Setia 41 Tahun Berkhidmat, Tiga Penjawat Awam Kongsi Cabaran & Semangat Berkhidmat
SIBU: Pengiktirafan menerusi Pingat Perkhidmatan Setia menjadi detik penuh bermakna buat tiga penjawat awam sektor kesihatan yang telah menabur bakti selama 41 tahun, sekali gus menjadi inspirasi kepada generasi baharu dalam Perkhidmatan Awam.
Ketiga-tiga penerima tersebut telah menerima Pingat Perkhidmatan Setia daripada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dalam Majlis Penyampaian Pingat Perkhidmatan Setia Bahagian Sibu 2026 di sini pada Jumaat.
Seorang penerima Pingat Perkhidmatan Setia, Sulan Sawing yang mula bertugas di Hospital Kapit sejak tahun 1985 sebagai Pembantu Perawatan Kesihatan (PPK) menyifatkan pemberian pingat daripada Kerajaan Sarawak menjadi pengiktirafan bermakna terhadap jasa dan pengorbanannya.
Menurut beliau, antara cabaran terbesar yang dihadapi sepanjang tempoh perkhidmatan ialah menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi, khususnya penggunaan teknologi maklumat yang semakin meluas dalam penyampaian perkhidmatan.
Katanya, walaupun berdepan kesukaran untuk mempelajari teknologi baharu, beliau tetap berusaha menyesuaikan diri demi memastikan tugas dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
“Perubahan teknologi memang mencabar bagi kami yang telah lama berkhidmat, namun kami perlu terus belajar demi melaksanakan amanah yang diberikan dengan sebaiknya,” katanya.
Dalam masa sama, beliau berpesan kepada generasi baharu penjawat awam agar sentiasa mengamalkan nilai kesetiaan, berdisiplin, menepati masa serta tidak melengah-lengahkan tugas.
“Jalankan amanah dengan penuh tanggungjawab, sentiasa bertindak pantas dan berikan komitmen terbaik dalam setiap tugasan,” ujarnya.
Sementara itu, Reddy Mohd Harun yang juga bertugas di Hospital Kapit sebagai Pembantu Tadbir Operasi yang berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) turut meluahkan rasa syukur dan bangga menerima pengiktirafan tersebut selepas 41 tahun berkhidmat.
“Saya amat bersyukur dan berbangga kerana segala usaha serta pengorbanan selama ini dihargai menerusi penganugerahan Pingat Perkhidmatan Setia,” ujarnya yang juga pernah berkhidmat di Jabatan Pendaftaran Negara.
Dalam pada itu, beliau menasihati penjawat awam muda agar sentiasa mengutamakan disiplin, menepati masa, bekerja secara berpasukan serta menghormati rakan sekerja yang lebih berpengalaman.
Sementara itu, seorang lagi penerima, Ringkai Sumok berkata, pengalaman berkhidmat selama 41 tahun mempertemukannya dengan pelbagai cabaran termasuk berdepan ragam masyarakat serta keadaan geografi yang mencabar di kawasan pedalaman.
Menurutnya, tugas sebagai pemandu bot perubatan memerlukan kesabaran, ketabahan dan komitmen tinggi kerana faktor keadaan sungai yang sentiasa berubah.
Beliau yang juga bertugas di Pejabat Kesihatan Bahagian (PKB) Kapit turut berpesan agar penjawat awam sentiasa memberikan layanan terbaik kepada masyarakat, khususnya golongan warga emas dengan penuh hormat dan berhemah.-EDISI UKAS