212 Penjawat Awam Diraikan Dalam Majlis Penyampaian Pingat Perkhidmatan Setia Di Sibu
SIBU: Seramai 212 penjawat awam daripada 20 jabatan dan agensi kerajaan diraikan dalam Majlis Penyampaian Pingat Perkhidmatan Setia Bahagian Sibu sebagai pengiktirafan terhadap jasa serta dedikasi mereka dalam perkhidmatan awam.
Majlis yang berlangsung di Hotel RH, Sibu pada Jumaat itu disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Majlis tersebut merupakan siri kelima penganjurannya bagi tahun 2026 melibatkan penerima daripada 15 jabatan dan agensi Kerajaan Sarawak serta lima jabatan dan agensi Kerajaan Persekutuan.
Penerima terdiri daripada Pejabat Residen Bahagian Sibu seramai 11 orang, Pejabat Residen Bahagian Kapit (8), Jabatan Hutan Sarawak(1), Jabatan Kerja Raya Sarawak (4), Jabatan Tanah dan Survei Sarawak (13), Jabatan Pengairan dan Saliran Sarawak (5), Jabatan Pertanian Sarawak (4), Jabatan Agama Islam Sarawak (2), Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (4), Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak (3), Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (1), Majlis Perbandaran Sibu (37), Majlis Daerah Kapit (5), Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (4), Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (5), Mahkamah Negeri Sarawak (2), Jabatan Penerangan Malaysia Sarawak (dua), Jemaah Nazir Negeri Sarawak (2), Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (24) dan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (75).
Kesemua penerima diiktiraf atas khidmat bakti mereka yang cemerlang dengan tempoh perkhidmatan sekurang-kurangnya 20 hingga 40 tahun dalam sektor awam.
Antara penerima yang menerima pengiktirafan ialah Reddy Mohd Harun, Ringkai Sumok dan Sulan Sawing daripada Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak yang masing-masing telah berkhidmat selama 41 tahun.
Turut menerima pingat berkenaan ialah Raanah Lai dan Wong Leong Choo daripada Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak yang masing-masing mencatat tempoh perkhidmatan selama 40 tahun.
Turut hadir dalam majlis itu, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapaee, Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Michael Tiang Ming Tee, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee, Ketua-ketua Jabatan serta tetamu jemputan yang lain. -EDISI UKAS