940 Warga SMK Matu Terima Sumbangan Mashaf Al-Quran
MATU: Seramai 940 pelajar, guru dan kakitangan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Matu menerima sumbangan mashaf Al-Quran beserta terjemahan menerusi Majlis Penyerahan Mashaf Al-Quran Amazing yang diadakan di sekolah berkenaan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng, Datuk Dr Juanda Jaya berkata, inisiatif tersebut bertujuan memperkukuh penghayatan terhadap Al-Quran dalam kalangan warga sekolah selain menyemai budaya membaca, memahami dan mengamalkan ajaran Islam dalam kehidupan seharian.
Menurut beliau, Al-Quran bukan sekadar bahan bacaan, sebaliknya merupakan panduan hidup yang membentuk akhlak, sahsiah dan keperibadian insan.
“Jadikan amalan membaca Al-Quran sebagai rutin harian sama ada di sekolah mahupun di rumah kerana penghayatan terhadap kitab suci ini mampu melahirkan generasi yang berilmu, berintegriti serta memiliki nilai moral yang tinggi,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan pada Jumaat.
Beliau menambah, penyediaan mashaf Al-Quran yang dilengkapi terjemahan turut membantu warga sekolah memahami maksud setiap ayat dengan lebih jelas sekali gus meningkatkan penghayatan terhadap ajaran Islam.
Pada majlis itu, sebanyak 940 naskhah mashaf Al-Quran beserta terjemahan diagihkan kepada semua pelajar, guru dan kakitangan SMK Matu bagi memastikan setiap warga sekolah mempunyai kemudahan untuk membaca serta memahami isi kandungan kitab suci tersebut.
Beliau berharap sumbangan berkenaan dimanfaatkan sepenuhnya dan menjadi pemangkin kepada usaha melahirkan generasi yang menjadikan Al-Quran sebagai rujukan utama dalam setiap aspek kehidupan. -EDISI UKAS