Budaya Membaca Al-Quran Sepanjang Hayat Teras Pembentukan Ummah Berakhlak
MATU: Amalan membaca Al-Quran perlu diterapkan sebagai budaya sepanjang hayat dalam usaha melahirkan masyarakat yang berilmu, berakhlak mulia dan berpegang teguh kepada ajaran Islam.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng, Datuk Dr Juanda Jaya berkata, Al-Quran merupakan panduan terbaik dalam membentuk sahsiah, memperkukuh akhlak serta memimpin umat Islam ke arah kehidupan yang diredai Allah SWT.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Tilawah Al-Quran dan Hafazan Peringkat Daerah Matu 2026 yang berlangsung di Masjid Hidayatullah, Kampung Jemoreng, pada Jumaat.
Majlis anjuran Pejabat Agama Islam Matu Daro dengan kerjasama Pejabat Daerah Matu itu menghimpunkan 10 peserta terdiri daripada lima qari dan lima qariah yang memperdengarkan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran bagi merebut peluang mewakili Daerah Matu ke pertandingan peringkat seterusnya.
Bagi kategori qari, Hata Kiprawi dari Kampung Jemoreng muncul johan, diikuti Mohd Ishak Darahman dari Kampung Tian sebagai naib johan, manakala tempat ketiga menjadi milik Syazwan Mohamad @ Hamzah dari Kampung Sekaan Besar.
Bagi kategori qariah pula, Betty Soffia Hamaran dari Kampung Tengah Igan dinobatkan sebagai johan, diikuti Jamilah Ahmad dari Kampung Baru Dagang, Igan sebagai naib johan, sementara Dalila Nur Athirah Abdullah dari Kampung Sekaan Besar menduduki tempat ketiga.
Penganjuran majlis tersebut bukan sahaja menjadi platform mencungkil bakat qari dan qariah, malah menyemarakkan syiar Islam serta memperkukuh budaya membaca, memahami dan menghayati Al-Quran dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda. -EDISI UKAS