Tujuh Organisasi Di DUN Jemoreng Terima Sumbangan MRP Bernilai RM31,000
MATU: Tujuh organisasi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jemoreng menerima dana Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM31,000 bagi menyokong pelaksanaan aktiviti pendidikan, keagamaan dan kemasyarakatan di kawasan masing-masing.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng, Datuk Dr Juanda Jaya berkata, peruntukan MRP itu disalurkan bagi membantu organisasi penerima melaksanakan program dan aktiviti yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat.
Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan Majlis Ringkas Penyampaian Sumbangan MRP ADUN Jemoreng, di sini pada Jumaat.
Antara penerima sumbangan ialah Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Bruan Mapal (RM5,000), Surau Bahrul Ilmi (RM5,000), Surau Darul Ibadah Kampung Halud (RM3,000), Surau Darul Insyirah Bruan Mapal (RM3,000), Jawatankuasa Masjid Hidayatullah Jemoreng (RM5,000), Surau As-Syakirin Bawang Tian (RM5,000) serta PIBG Orang Kaya Sergunim (RM5,000).
Menurut beliau, bantuan berkenaan diharap dapat memperkukuh peranan institusi pendidikan dan keagamaan dalam membangunkan masyarakat, di samping menyokong usaha memperkasa pelbagai aktiviti komuniti secara berterusan. -EDISI UKAS