Standard KMKK Perlu Dipertingkat Seiring Kehendak Era Baharu: Premier Sarawak
SIBU: Standard kepimpinan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) perlu dipertingkatkan agar mampu memenuhi kehendak era baharu yang menyaksikan perubahan pesat dalam teknologi, ekonomi hijau serta landskap pembangunan global.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, KMKK perlu melangkaui peranan tradisional sebagai penyampai maklumat, sebaliknya menjadi pemimpin komuniti yang memahami dasar kerajaan, menguasai teknologi digital dan mampu membimbing rakyat menghadapi perubahan semasa.
Menurut beliau, tanpa pemahaman yang menyeluruh terhadap dasar-dasar baharu, jurang kefahaman antara kerajaan dengan rakyat boleh berlaku, sekali gus menjejaskan pelaksanaan agenda pembangunan negeri.
"Sebab itu standard ketua masyarakat, minta maaf, perlu ditingkatkan. Kalau tidak, tidak ada satu fahaman yang betul di antara rakyat dengan dasar kita dan dasar kita dibuat kepada kehendak era yang baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Makan Malam Bersama Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum sempena Program Sarawakku Sayang (SKS) Sibu 2026 di sini pada Jumaat.
Premier Sarawak menambah, antara perubahan yang perlu difahami oleh KMKK termasuk pembangunan ekonomi rendah karbon, perdagangan karbon, pendigitalan perkhidmatan kerajaan, penggunaan teknologi dalam pentadbiran serta pembangunan yang berpaksikan kelestarian alam sekitar.
Menurut beliau, pemimpin masyarakat perlu memahami pendekatan tersebut agar seiring dengan dasar kerajaan yang disesuaikan dengan tuntutan era baharu, khususnya dalam aspek pendigitalan dan penggunaan teknologi.
"Inilah yang kita panggil ‘bottom-up’, dari bawah ke atas, bukan dari atas ke bawah.
"Ini dasar kerajaan kita di bawah pimpinan saya dari mula hingga ke hari ini. Sebab itulah di kawasan Sibu ini kita berkehendakkan pemimpin-pemimpin masyarakat faham dengan dasar yang kita lakukan hari ini, iaitu kita sesuai dengan kehendak era baharu,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa masa depan Sarawak bergantung kepada keupayaan rakyatnya sendiri untuk mentadbir dan membangunkan negeri tanpa terlalu bergantung kepada pihak lain.
"Sarawak mesti bergantung kepada kekuatan Sarawak sendiri. Hanya orang Sarawak dapat mengurus Sarawak,” tegas beliau.
Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Menteri-Menteri Persekutuan, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak Datuk Michael Tiang Ming Tee, Timbalan-Timbalan Menteri, Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sarawak, Ketua-ketua Jabatan, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum serta tetamu jemputan lain. -EDISI UKAS