Pembinaan Loji Rawatan Air Baharu Kanowit Bernilai RM185.2 Juta Bermula
KANOWIT: Pembinaan Loji Rawatan Air baharu di Kanowit berkapasiti 25 juta liter sehari (MLD) dengan kos RM185.2 juta kini telah bermula sebagai usaha memperkukuh sistem bekalan air di daerah tersebut.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, Kanowit ketika ini mempunyai Loji Rawatan Air berkapasiti 4.86 MLD dan pembinaan loji baharu berkapasiti 25 MLD itu akan memenuhi permintaan bekalan air yang semakin meningkat.
“Pembinaan loji air 25 MLD bertepatan sekali untuk memperkukuh bekalan air di kawasan Kanowit demi untuk memenuhi permintaan bekalan air yang semakin meningkat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melawat ke tapak pembinaan loji berkenaan pada Khamis bagi meninjau perkembangan pelaksanaan projek.
Menurut Dato Sri Julaihi, projek tersebut mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memperkukuh infrastruktur bekalan air demi rakyat.
Turut mengiringi lawatan tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machan Allan Siden Gramong, ADUN Ngemah Anyi Jana serta Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datu Jafri Lias, Pemangku Pengarah Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak Tamida Da’adi.-EDISI UKAS