Premier Sarawak Santuni Rakyat, Nikmati Mee Kampua Di Pasar Sentral Sibu
SIBU: Kesibukan pagi hujung minggu di Pasar Sentral Sibu hari ini bertambah meriah apabila Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg meluangkan masa bersarapan sambil menyantuni pemimpin masyarakat, peniaga dan orang ramai.
Beliau tiba sekitar jam 7.50 pagi sebelum menikmati hidangan ikonik Sibu iaitu mee kampua bersama pelbagai kuih tradisional di sebuah gerai makan di pasar berkenaan.
Premier Sarawak turut duduk semeja bersama Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Dr Annuar Rapaee, Temenggong Dato Sri Wan Hamid Edruce, Temenggong Stanley Gramong Bandar serta Temenggong Dato Vincent Lau.
Kehadiran beliau menceriakan suasana apabila pengunjung dan peniaga tidak melepaskan peluang untuk bersalaman, beramah mesra serta merakam gambar kenangan bersama pemimpin nombor satu Sarawak itu.
Sebelum itu, Premier Sarawak menyertai aktiviti brisk walk di Bukit Lima Nature Reserve yang bermula sekitar jam 6.30 pagi bersama rombongan.
Sejurus selesai bersarapan, beliau turut meluangkan masa meninjau operasi Pasar Sentral Sibu serta singgah di beberapa gerai untuk membeli barangan daripada para peniaga.
Lawatan santai itu mencerminkan pendekatan kepimpinan beliau yang sentiasa dekat dengan rakyat, di samping meninjau sendiri aktiviti ekonomi setempat.
Premier Sarawak dijadual merasmikan Program Sarawakku Sayang (SKS) Peringkat Bahagian Sibu di Dataran Tun Tuanku Haji Bujang pada jam 10.30 pagi ini.-EDISI UKAS