Sibu Akan Distruktur Semula Ke Arah Bandar Pintar Rendah Karbon
SIBU: Sibu akan melalui penstrukturan semula pembangunan secara menyeluruh menerusi pelan induk baharu yang akan mentransformasikan bandar itu sebagai Bandar Pintar Rendah Karbon, sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai hab pembangunan mampan di zon tengah Sarawak.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pembangunan Sibu perlu berpandukan pelan induk yang lebih strategik memandangkan model pembangunan berasaskan industri pembalakan tidak lagi menepati keperluan ekonomi masa kini.
Menurut beliau, usaha penstrukturan semula itu akan melibatkan pelaburan berskala besar dan dilaksanakan secara berperingkat mengikut kemampuan kewangan Kerajaan Sarawak.
"Kalau dahulu Sibu dibangunkan berasaskan industri pembalakan, hari ini kita perlu membangunkannya dengan cara baharu. Sebab itu kita mahu melakukan penstrukturan semula terhadap Sibu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Pemimpin Bersama Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) di sini, pada Jumaat.
Menjelas lanjut beliau memberitahu, penstrukturan semula itu bertujuan mentransformasikan Sibu sebagai sebuah Bandar Pintar Rendah Karbon yang mengimbangi pembangunan ekonomi, pemeliharaan alam sekitar serta penggunaan teknologi digital dalam penyampaian perkhidmatan.
"Inilah Sibu yang harus kita bangunkan dan lakukan penstrukturan semula agar menjadi Bandar Pintar Rendah Karbon di tengah-tengah Sarawak,” ujarnya.
Beliau menambah, agenda pembangunan tersebut akan dipacu menerusi peranan Mid Rajang Development Agency (MiRRDA) dan Rajang Delta Development Agency (RADDA), di samping memberi penekanan terhadap pemuliharaan hutan sebagai penyerap karbon, penerokaan peluang perdagangan karbon serta pemerkasaan teknologi digital.
"Sibu mempunyai kedudukan strategik di tengah-tengah Sarawak dan berpotensi menjadi bandar pintar rendah karbon yang mampu menyokong agenda pembangunan mampan negeri pada masa depan,” katanya.
Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Menteri-Menteri Persekutuan, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak Datuk Michael Tiang Ming Tee, Timbalan-Timbalan Menteri, Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sarawak, ketua-ketua jabatan, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum serta kenamaan lain. -EDISI UKAS