Premier Sarawak Sertai Program Briskwalk, Bukit Lima Nature Reserve Diiktiraf Malaysia Book of Records Sebagai Rizab Alam Paya Gambut Bandar Terlindung Terbesar
SIBU: Bukit Lima Nature Reserve melakar satu lagi pencapaian membanggakan apabila diiktiraf dalam Malaysia Book of Records (MBR) sebagai “Largest Protected Urban Peat Swamp Nature Reserve”, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara kawasan pemuliharaan alam semula jadi yang signifikan di negara ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menyaksikan penyerahan sijil pengiktirafan tersebut sempena Program Briskwalk di Bukit Lima Nature Reserve, di sini pada Sabtu.
Mengiringi Premier Sarawak semasa Program Briskwalk itu ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee serta Ketua-Ketua Jabatan.
Sijil pengiktirafan itu disampaikan oleh Pegawai Rasmi Malaysia Book of Records, Megat Faris Hussein Megat Muzaffar Shah kepada Residen Bahagian Sibu, Superi Awang Said dan Pengawal Taman Negara dan Rizab Alam Semula Jadi, Abang Arabi Abang Aimran.
Selain menyaksikan penyerahan sijil tersebut, Premier Sarawak turut menyertai aktiviti berjalan santai bersama peserta program sebagai usaha memupuk gaya hidup sihat dan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pemuliharaan alam sekitar.
Beliau turut menyaksikan pelepasan seekor tenggiling sebagai simbol komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam usaha melindungi hidupan liar serta memelihara biodiversiti negeri.
Sebagai tanda sokongan terhadap agenda kelestarian alam sekitar, Premier Sarawak turut menyempurnakan simbolik penanaman anak pokok di kawasan rizab berkenaan.-EDISI UKAS