SRI AMAN: Jasa dan pengorbanan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memastikan keamanan serta keselamatan negara terus dihargai.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang berkata, anggota PDRM sentiasa memainkan peranan penting dalam memelihara keamanan melalui rondaan, pembanterasan jenayah, kawalan ketenteraman awam serta pelbagai tugas mencabar demi melindungi rakyat.
“Saya berharap seluruh warga PDRM sentiasa dikurniakan kesihatan, keselamatan, kekuatan dan perlindungan dalam melaksanakan amanah demi agama, bangsa dan negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengerami Ngiling Bidai IPD Sri Aman Tahun 2026 di Hotel Sri Simanggang, di sini, pada Jumaat.
Seramai kira-kira 38 meja tetamu memeriahkan majlis yang menjadi platform mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM), agensi kerajaan, pemimpin masyarakat serta komuniti setempat sempena penutupan sambutan Hari Gawai.
Datuk Mong memberitahu, Sambutan Hari Gawai yang diraikan pada setiap 1 Jun merupakan satu penghormatan kepada masyarakat Dayak di Sarawak dan menjadi medium penting dalam memperkukuh perpaduan serta hubungan mesra antara pelbagai kaum.
Pada majlis sama, ADUN Engkilili Johnical Rayong Ngipa mengumumkan peruntukan berjumlah RM20,000, masing-masing RM10,000 kepada IPD Sri Aman dan RM10,000 kepada PERKEP IPD Sri Aman bagi menyokong pelaksanaan program kebajikan serta aktiviti yang memberi manfaat kepada warga pasukan itu. -EDISI UKAS