Peruntukan RM1.6 Juta Pacu Pembangunan Sukan Dan Rekreasi Zon 9 Serayan
LUNDU: Peruntukan berjumlah RM1.6 juta diluluskan di bawah Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) bagi pembinaan sebuah gelanggang permainan berbumbung di Kampung Serayan Baru.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang berkata, kemudahan itu bakal menjadi hab pelaksanaan pelbagai program sukan, rekreasi, pembangunan belia dan aktiviti kemasyarakatan di kawasan berkenaan.
“kemudahan tersebut bukan sahaja menyediakan ruang yang lebih selesa dan kondusif kepada penduduk, malah mampu menggalakkan gaya hidup sihat, mengeratkan perpaduan serta memperkukuh pembangunan sosial masyarakat di Zon 9 Serayan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Malam Bersama Pemimpin Zon 9 Serayan yang berlangsung di Dewan Serbaguna Kampung Serayan Baru, di sini pada Jumaat.
Dalam pada itu, Billy memberitahu, pembangunan di kawasan konstituensi Opar tidak hanya tertumpu kepada penyediaan infrastruktur fizikal, sebaliknya turut memberi penekanan kepada pembangunan modal insan, pendidikan, kesihatan dan kesejahteraan komuniti.
Beliau berkata, pelbagai lagi projek pembangunan sedang dan akan dilaksanakan di kawasan DUN Opar hasil kerjasama erat antara kerajaan negeri, agensi pelaksana serta masyarakat setempat bagi memastikan lebih banyak manfaat dapat dinikmati rakyat, khususnya di kawasan luar bandar.
Dalam majlis sama, seramai 25 penerima turut menerima bakul makanan sebagai usaha membantu golongan yang memerlukan.
Turut disampaikan cek Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM35,000 kepada Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) Lundu bagi tujuan bantuan pendidikan, RM10,000 kepada Komuniti Zon 9 Serayan untuk pelaksanaan program kemasyarakatan serta RM4,000 kepada Biro Wanita Kampung Serayan Hulu bagi memperkasa aktiviti pembangunan wanita. -EDISI UKAS