Dakwaan Dana Tiga Jambatan Dialih Kepada SSLR Tidak Benar, Datuk Willie Tegaskan Rekod Rasmi Buktikan Sebaliknya
KUCHING: Dakwaan bahawa pembatalan tiga projek jambatan utama di Sarawak pada tahun 2018 dibuat bagi memberi laluan kepada Projek Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) adalah tidak benar, mengelirukan dan bercanggah dengan rekod rasmi kerajaan serta Hansard Parlimen.
Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin berkata, dakwaan yang terus dimainkan oleh pihak tertentu itu tidak menepati kronologi sebenar pelaksanaan projek dan boleh menimbulkan salah faham dalam kalangan rakyat berhubung agenda pembangunan infrastruktur di Sarawak.
Beliau menjelaskan, tiga projek yang dimaksudkan iaitu Jambatan Batang Lupar, Jambatan Kuala Igan dan Jambatan Rambungan sememangnya dibatalkan oleh Kerajaan Persekutuan ketika pentadbiran Pakatan Harapan pada tahun 2018 berikutan semakan semula projek pembangunan atas alasan kekangan kewangan.
Katanya, keputusan itu adalah sebahagian daripada pembatalan ratusan projek pembangunan di seluruh negara yang diumumkan oleh Kementerian Kewangan ketika itu, termasuk projek yang belum ditender, belum dimulakan atau mencatat kemajuan kurang daripada 15 peratus.
Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan media, pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Datuk Willie berkata Hansard Dewan Rakyat bertarikh 14 Oktober 2019 turut mengesahkan ketiga-tiga projek jambatan tersebut telah dibatalkan oleh Kerajaan Persekutuan sebelum Kerajaan Sarawak mengambil keputusan meneruskan pembinaannya menggunakan dana negeri.
“Jawapan Menteri Kerja Raya ketika itu hanya menyatakan peruntukan berkenaan akan digunakan bagi projek-projek lain di Sarawak dan langsung tidak menyebut bahawa dana tersebut dipindahkan secara khusus kepada Projek SSLR,” katanya.
Beliau berkata kronologi pelaksanaan projek juga membuktikan dakwaan berkenaan tidak berasas kerana pembatalan tiga jambatan berlaku pada tahun 2018, manakala SSLR hanya diumumkan sebagai projek keutamaan pada 2019 sebelum menerima kelulusan serta peruntukan baharu daripada Kerajaan Persekutuan pada tahun 2020.
“Ini jelas menunjukkan bahawa ketika tiga projek jambatan dibatalkan, SSLR masih belum menerima kelulusan pembiayaan Persekutuan. Oleh itu, dakwaan bahawa pembatalan tersebut dibuat bagi membiayai SSLR tidak selari dengan garis masa sebenar,” katanya.
Beliau turut menjelaskan kenyataan bekas Menteri Kerja Raya, Baru Bian pada tahun 2021 mengenai peruntukan yang didakwa ‘dialihkan’ kepada SSLR tidak mengubah fakta rasmi bahawa pembatalan projek berlaku pada tahun 2018, manakala Hansard Parlimen pada 2019 tidak pernah merekodkan pemindahan khusus dana tiga jambatan kepada projek tersebut.
Dalam pada itu, Datuk Willie berkata keperluan pembinaan jambatan di sepanjang Jalan Pesisir Sarawak telah lama diiktiraf sebagai agenda pembangunan strategik negeri.
Beliau berkata perkara itu dapat dibuktikan menerusi Hansard Dewan Rakyat pada 9 Jun 2015 yang merekodkan gesaan supaya beberapa jambatan termasuk Batang Rambungan, Batang Lupar dan Kuala Igan dibina bagi melengkapkan jaringan Jalan Pesisir Sarawak.
Sehubungan itu, beliau menegaskan Projek SSLR merupakan projek baharu yang melalui proses penilaian serta kelulusan pembiayaan tersendiri dan bukannya dibiayai melalui pemindahan peruntukan daripada tiga projek jambatan berkenaan.
Menurut beliau, apa yang lebih penting ialah rakyat Sarawak akhirnya tidak kehilangan manfaat daripada projek-projek tersebut apabila Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak yang mengambil keputusan membiayai sendiri pembinaan ketiga-tiga jambatan berkenaan.
Katanya, langkah itu membuktikan komitmen serta keupayaan Kerajaan Sarawak dalam memastikan projek infrastruktur strategik yang memberi manfaat kepada rakyat tetap diteruskan walaupun berdepan pembatalan oleh Kerajaan Persekutuan pada ketika itu.
Beliau turut menyeru semua pihak supaya menghentikan penyebaran naratif yang tidak disokong fakta serta menjadikan rekod rasmi kerajaan, Hansard Parlimen dan kronologi sebenar sebagai asas dalam membincangkan pembangunan Sarawak. -EDISI UKAS