Jasa Veteran TLDM Terus Dihargai, Kebajikan Mereka Harus Sentiasa Diperkasa
KOTA SAMARAHAN: Jasa dan pengorbanan veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam mempertahankan keamanan, keselamatan serta kedaulatan negara perlu terus dikenang dan dihargai, di samping memastikan kebajikan mereka sentiasa diberi perhatian.
Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang, Dato Idris Buang berkata, golongan veteran merupakan antara individu yang telah banyak berkorban demi mempertahankan negara sehingga membolehkan rakyat menikmati kehidupan dalam suasana aman, stabil dan sejahtera.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung 2026 Persatuan Veteran Tentera Laut Diraja Malaysia Sarawak (PVTLDMS) di Dewan Suarah Kota Samarahan, pada Sabtu.
Menurut beliau, pengorbanan anggota tentera bukan sahaja diukur melalui tempoh perkhidmatan, malah melalui kesanggupan mereka mempertaruhkan nyawa demi mempertahankan kedaulatan negara.
"Jasa dan pengorbanan para veteran tentera amat besar nilainya dan tidak seharusnya dilupakan. Mereka merupakan wira negara yang telah mempertahankan keamanan, keselamatan dan kedaulatan tanah air," katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap masyarakat terus menghargai sumbangan veteran angkatan tentera serta menyokong segala usaha yang dilaksanakan bagi memperkukuh kebajikan dan kesejahteraan golongan berkenaan.
Pada majlis sama, Dato Idris turut menyampaikan bakul makanan kepada pesara TLDM sebagai tanda penghargaan dan keprihatinan terhadap kebajikan veteran yang telah menabur bakti kepada negara. -EDISI UKAS