KOTA SAMARAHAN: PPNS Agriculture Expo 2026 menjadi platform strategik dalam mempercepat transformasi sektor pertanian Sarawak menerusi penerapan teknologi moden, pengukuhan jaringan industri serta pemerkasaan usahawan tani ke arah sistem agromakanan yang lebih mampan dan berdaya saing.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak (PPNS), Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, penganjuran expo yang memasuki edisi kedua itu mencerminkan komitmen berterusan PPNS dalam membangunkan ekosistem pertanian negeri selaras dengan aspirasi Sarawak untuk memperkukuh sekuriti makanan melalui penggunaan teknologi dan inovasi.
"PPNS bukan sahaja berperanan membantu peladang dari aspek pengeluaran hasil, malah turut menyediakan platform untuk memperluaskan jaringan perniagaan, mempromosikan produk tempatan dan memperkenalkan teknologi pertanian terkini kepada masyarakat," katanya ketika mengadakan lawatan di tapak PPNS Agriculture Expo 2026, di sini pada Sabtu.
Berlangsung selama tiga hari bermula 10 hingga 12 Julai di Bangunan PPNS, Kota Samarahan, expo tersebut menghimpunkan 35 gerai pameran melibatkan usahawan tempatan, agensi kerajaan, syarikat pembekal input pertanian, pengusaha benih serta pengeluar jentera pertanian.
Pelbagai pengisian berteraskan ilmu, inovasi dan teknologi disediakan sepanjang penganjuran, antaranya ceramah Program e-Tani oleh Pejabat Pertanian Bahagian Samarahan, ceramah pendidikan dan kerjaya oleh Kolej Universiti i-CATS, perkongsian inisiatif pertanian oleh Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), sesi perkongsian kejayaan usahawan tani serta demonstrasi penggunaan dron pertanian oleh DJI Agriculture.
Bagi memeriahkan lagi penganjuran, pengunjung turut berpeluang menyertai Program Jualan Rahmah MADANI, promosi input pertanian, pameran jentera moden, aktiviti senamrobik zumba serta pertandingan mewarna yang melibatkan penyertaan kanak-kanak dan warga emas.
Dalam perkembangan sama, Datuk Dr Abdul Rahman memaklumkan PPNS berhasrat menjadikan Agriculture Expo sebagai acara tahunan bagi memperkukuh kerjasama strategik antara agensi kerajaan, pemain industri dan komuniti peladang dalam mempercepat pembangunan sektor pertanian Sarawak.
Hadir sama, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD) Sayed Ismail Nasiruddin Dato Wan Hashim, Pengarah Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) Mohd Nazaitul Azdi Rahman dan Penolong Pengurus BesarPPNS Magerate Nanyang Senin. -EDISI UKAS