PPNS Diperkasa Sebagai Hab Pemasaran Pertanian Sarawak, Sasar Sokong Agenda Pengeksport Bersih Makanan 2030
KOTA SAMARAHAN: Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak (PPNS) terus diperkasakan sebagai agensi utama pemasaran produk pertanian negeri bagi memperkukuh rantaian nilai sektor agromakanan serta merealisasikan aspirasi Sarawak menjadi pengeksport bersih makanan menjelang tahun 2030.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD) merangkap Pengerusi PPNS, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, kerajaan negeri di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, telah mengamanahkan PPNS untuk memainkan peranan sebagai pemasar utama produk pertanian tempatan, seiring fungsi yang dilaksanakan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di peringkat nasional.
Beliau berkata, langkah tersebut bertujuan memperkukuh akses pasaran bagi hasil pertanian tempatan, sekali gus meningkatkan pendapatan petani dan usahawan tani di seluruh Sarawak.
"Premier Sarawak mahu PPNS memainkan peranan penting dalam membantu memasarkan produk-produk pertanian negeri, bukan sahaja untuk pasaran tempatan tetapi juga ke peringkat eksport," katanya pada sidang media sempena PPNS Agriculture Expo 2026 di Bangunan PPNS, di sini pada Sabtu.
Menurut beliau, bangunan PPNS bernilai RM20 juta di Kota Samarahan kini berfungsi sebagai hab sehenti yang menempatkan pejabat pentadbiran serta Peladang e-Shop bagi memasarkan produk keluaran usahawan dan petani dari seluruh Sarawak.
Bagi memperkukuh lagi fungsi tersebut, beliau memaklumkan projek peluasan bangunan baharu bernilai kira-kira RM15 juta akan dimulakan tahun ini dan dijangka siap pada 2028.
Katanya, pembangunan itu akan menyediakan pelbagai kemudahan termasuk pusat bekalan input pertanian, stor sejuk untuk penyimpanan ikan dan sayur-sayuran serta kawasan ‘Celebration Square’ yang akan menjadi lokasi penganjuran aktiviti ekonomi, promosi dan pemasaran produk pertanian.
Mengulas potensi sektor agromakanan negeri, Datuk Dr Abdul Rahman berkata Sarawak mempunyai kelebihan dalam pengeluaran pelbagai komoditi bernilai tinggi seperti ikan tilapia, nanas, durian, kelapa dan pisang yang kini mendapat permintaan menggalakkan di pasaran antarabangsa.
Bagaimanapun, beliau menegaskan pengeluaran perlu dipertingkat secara konsisten dengan mengekalkan standard kualiti yang tinggi bagi memenuhi keperluan pasaran eksport.
"Bagi memenuhi permintaan eksport, kita perlu memastikan aspek kualiti dan pengeluaran secara konsisten dapat dipenuhi kerana pasaran antarabangsa memerlukan bekalan dalam jumlah yang besar dan berterusan," katanya lagi. -EDISI UKAS