Premier Sarawak Umum Penubuhan Sibu Economic Zone (SEZ), Peruntuk RM1.5 Bilion Pacu Transformasi Ekonomi
SIBU: Kerajaan Sarawak bersetuju secara dasar untuk menubuhkan Sibu Economic Zone (SEZ) sebagai agensi khusus bagi mempercepat transformasi pembangunan ekonomi Sibu dengan peruntukan sebanyak RM1.5 bilion akan disediakan dalam Belanjawan Sarawak yang akan datang.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, penubuhan SEZ yang berlainan daripada agensi pembangunan wilayah lain itu mengambil kira keperluan pembangunan ekonomi Sibu yang mempunyai ciri, potensi dan cabaran tersendiri berbanding kawasan lain di Sarawak, sekali gus memerlukan pendekatan pembangunan yang lebih tersusun, strategik dan khusus.
Menurut beliau, zon ekonomi tersebut akan menjadi pemangkin kepada pembentukan ekosistem ekonomi baharu yang mampu menarik pelaburan, memperkukuh sektor perkhidmatan serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada rakyat.
"Saya bersetuju untuk mewujudkan sebuah agensi pembangunan yang khusus bagi Sibu. Agensi ini berlainan daripada agensi-agensi pembangunan wilayah yang sedia ada dikenali sebagai Sibu Economic Zone.
"Kerana pembangunan ekonomi Sibu yang agak kompleks dengan perkhidmatannya, jadi untuk permulaanya saya akan masukkan sebanyak RM1.5 bilion dalam Belanjawan Sarawak yang baharu untuk pembangunan Sibu Economic Zone," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan semasa Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Sibu 2026 di Dataran Tun Tuanku Haji Bujang pada Sabtu.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Menteri-Menteri dan Timbalan Menteri Persekutuan, Timbalan-Timbalan Menteri, Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sarawak, Ketua-ketua Jabatan serta kenamaan yang lain.
Pada masa sama, beliau turut menyuarakan hasrat untuk melihat Sibu dibangunkan berasaskan konsep bandar moden yang mampan, mengambil inspirasi daripada pembangunan Amsterdam di Belanda yang berjaya mengimbangi pembangunan bandar dengan pengurusan sistem sungai dan alam sekitar.
Sementara itu, bercakap dalam sidang media, beliau memberitahu, SEZ berbeza daripada agensi pembangunan lain kerana kawasan lain tidak begitu tertumpu kepada pembangunan bandar.
Sebaliknya jelas beliau, keutamaan agensi pembangunan wilayah lain lebih diberikan kepada pembangunan infrastruktur, sektor pertanian dan penyediaan kemudahan asas.
"Tapi Sibu pula sudah membangun, namun cabaran utamanya ialah kedudukan bandar ini yang lebih rendah daripada paras sungai. Oleh itu, kita perlu menggunakan pendekatan dan metodologi kejuruteraan yang sesuai bagi membangunkannya.
"Sebab itulah proses perancangannya mengambil masa, dianggarkan sekitar lima tahun. Selepas perancangan itu siap, barulah pelaksanaannya dilaksanakan secara berperingkat," jelasnya lagi.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, Sibu mempunyai masa depan yang menyakinkan dengan adanya peralihan daripada sudut pembangunan ekonomi.
"Sebab itu saya bersetuju dengan cadangan Datuk Dr Annuar Rapaee dengan wakil-wakil rakyat di Sibu untuk ada satu agensi yang mengawal dan memberi pandangan dari sudut pembangunan Sibu.
"Kerana pembangunan agak kompleks ia adalah satu pendekatan yang 'multi approaches' dalam kita membangunkan Sibu.
"Saya yakin dengan adanya Program Sarawakku Sayang kita akan memperoleh input yang diperlukan untuk terus membangunkan serta memperkukuh apa yang telah kita laksanakan demi masa depan Sarawak. Malah, usaha ini akan diteruskan melangkaui tahun 2030," katanya. -EDISI UKAS