Sibu Economic Forum Authority Dicadang Ditubuh Di Sibu, Perkukuh Ekonomi Zon Tengah
SIBU: Sibu Economic Forum Authority dicadangkan ditubuhkan bagi memacu pertumbuhan ekonomi Sibu dan zon tengah Sarawak melalui pendekatan yang lebih tersusun serta berorientasikan pelaburan dan penciptaan pekerjaan.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, walaupun pembangunan fizikal di Sibu terus dipertingkat menerusi pelbagai projek infrastruktur kerajaan negeri, bandar itu kini memerlukan sebuah badan yang memberi tumpuan khusus kepada pembangunan ekonomi bagi merancakkan aktiviti perniagaan dan industri.
"Sibu memerlukan lebih banyak aktiviti ekonomi bagi mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti. Kita tidak mahu terus kehilangan bakat apabila ramai anak Sibu berhijrah untuk bekerja di luar Sarawak dan luar negara.
"Atas sebab itu, saya mencadangkan agar sebuah Sibu Economic Forum Authority diwujudkan bagi merancang dan melaksanakan agenda ekonomi yang mampu menjadikan Sibu sebagai hab pertumbuhan baharu di zon tengah Sarawak," katanya.
Beliau berkata demikian semasa Program Sarawak Ku Sayang (SKS) Sibu 2026 yang dirasmikan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di sini pada Sabtu.
Sementara itu, Premier Sarawak dalam ucapan perasmian telah bersetuju untuk mewujudkan badan itu dan dinamakan sebagai Sibu Economic Zone yang akan disuntik dana sebanyak RM1.5 bilion sebagai permulaan.
Menurut Datuk Dr Annuar, kedudukan Sibu yang strategik membolehkan bandar itu dibangunkan sebagai hab industri makanan dan logistik yang membekalkan keperluan ke seluruh Sarawak, sekali gus merangsang pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta menarik pelaburan baharu.
"Badan ini bukan hanya merancang malah melaksanakan aktiviti-aktiviti ekonomi PKS hinggalah industri yang lebih besar supaya memberi peluang pekerjaan dan seterusnya bandar Sibu akan lebih pesat jika dibandingkan dengan kawasan lain disebabkan lokasinya begitu baik.
"Jika kita mempunyai industri makanan yang besar, Sibu boleh menjadi hab bekalan makanan di seluruh Sarawak," tambahnya.
Beliau turut membangkitkan isu penghijrahan tenaga mahir (brain drain) yang semakin ketara apabila ramai anak kelahiran Sibu memilih membina kerjaya di luar negeri, menyebabkan bandar itu berdepan risiko peningkatan populasi warga emas jika peluang pekerjaan berkualiti tidak diperluaskan.
Dalam perkembangan sama, Datuk Dr Annuar memuji kepimpinan Premier Sarawak yang berjaya memperkenalkan pelbagai dasar transformatif dalam tempoh hampir sedekad, khususnya dalam bidang pendidikan.
Beliau berkata, dasar penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran Sains dan Matematik, pendidikan tinggi percuma di institusi milik kerajaan Sarawak serta penubuhan sekolah antarabangsa kerajaan negeri merupakan langkah strategik bagi melahirkan modal insan berdaya saing di peringkat global.
Katanya, pendekatan itu turut mendapat pengiktirafan ahli ekonomi bertaraf dunia, yang menyifatkan Sarawak berada pada landasan tepat menerusi empat teras utama iaitu ekonomi, tenaga, alam sekitar dan pendidikan.
Selain itu, Datuk Dr Annuar berkata, pelbagai projek infrastruktur termasuk jalan baharu, jalan alternatif, pembangunan semula Kampung Datu dan projek perumahan Kemuyang membuktikan komitmen berterusan kerajaan Sarawak dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat serta memperkukuh pembangunan Sibu.
Beliau berharap sokongan rakyat terhadap kepimpinan Premier Sarawak dapat diteruskan supaya agenda pembangunan, pendidikan dan ekonomi negeri dapat dilaksanakan secara berterusan demi kemakmuran seluruh rakyat Sarawak.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Menteri-Menteri dan Timbalan Menteri Persekutuan, Timbalan-Timbalan Menteri, Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sarawak, ketua-ketua jabatan serta kenamaan yang lain.- EDISI UKAS