Pembangunan Semula Sibu Dirangka Secara Berfasa Sehingga 20 Tahun
SIBU: Kerajaan Sarawak sedang merangka transformasi menyeluruh Bandar Sibu menerusi pelan pembangunan jangka panjang yang dijangka mengambil masa antara 15 hingga 20 tahun dengan memberi penekanan kepada pembangunan bandar mampan, penyelesaian kejuruteraan moden, pemuliharaan alam sekitar serta pembentukan ekosistem ekonomi baharu.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pembangunan semula Sibu perlu dilaksanakan berikutan perubahan landskap ekonomi negeri yang tidak lagi bergantung kepada industri pembalakan, sebaliknya beralih kepada ekonomi hijau, teknologi serta pembangunan rendah karbon.
Menurut beliau, kerajaan telah menyediakan kerangka pembangunan bandar itu yang kini memasuki fasa perancangan terperinci selepas mengambil kira pandangan pakar-pakar tempatan dan antarabangsa, termasuk pengalaman Belanda dalam membangunkan bandar yang mempunyai ciri geografi hampir sama dengan Sibu.
"Sibu perlu dibangunkan semula. Kawasan yang padat seperti Bukit Assek memerlukan pendekatan baharu, termasuk penyelesaian terhadap masalah air bertakung, sistem saliran yang lebih cekap serta pembangunan bandar yang lebih tersusun.
"Kita melihat contoh Amsterdam yang berjaya membangunkan bandar berasaskan sistem terusan dan saliran yang berkesan. Pendekatan itu akan disesuaikan mengikut keadaan geografi Sibu," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Sibu 2026 di Dataran Tun Tuanku Haji Bujang, di sini, pada Sabtu.
Beliau berkata, cabaran utama pembangunan Sibu ialah kedudukan bandar yang lebih rendah daripada paras sungai, sekali gus memerlukan pendekatan kejuruteraan khusus bagi memastikan pembangunan dapat dilaksanakan secara mampan dan berdaya tahan.
Jelas beliau, proses penyediaan pelan pembangunan dijangka mengambil masa kira-kira lima tahun sebelum pelaksanaannya dilaksanakan secara berperingkat memandangkan projek tersebut melibatkan pembangunan bandar secara menyeluruh.
Dalam usaha memperkukuh agenda kelestarian, kerajaan turut memberi penekanan terhadap pemeliharaan kawasan tanah gambut yang berfungsi sebagai penyimpan karbon semula jadi, selaras dengan komitmen Sarawak terhadap agenda Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) serta pembangunan ekonomi hijau.
Pada masa sama, beliau mengumumkan kawasan Bukit Lima Nature Reserve seluas 301 hektar atau kira-kira 744 ekar akan terus dipelihara sebagai kawasan perlindungan alam semula jadi dengan pembangunan yang minimum bagi menyokong aktiviti rekreasi, pendidikan alam sekitar dan ekopelancongan.
Katanya, kawasan tersebut telah diiktiraf oleh Malaysia Book of Records sebagai The Largest Protected Urban Peat Swamp Nature Reserve in Malaysia, sekali gus menjadikannya kawasan perlindungan tanah gambut bandar terbesar di negara ini.
"Saiz kawasan ini hampir dua kali ganda Hyde Park di London dan kira-kira 15 kali lebih besar berbanding kawasan hijau di KLCC.
"Kita mahu menjadikan Bukit Lima sebagai aset alam semula jadi yang mampu menyokong pembangunan ekopelancongan, penyelidikan dan pendidikan alam sekitar tanpa menjejaskan ekosistem sedia ada," katanya.
Menurut beliau, pembangunan kawasan tersebut akan memberi tumpuan kepada penyediaan kemudahan mesra alam seperti laluan pejalan kaki, kawasan rekreasi serta infrastruktur sokongan yang selaras dengan konsep pembangunan mampan.
Hadir sama pada sidang media tersebut ialah Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-Timbalan Menteri, Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sarawak serta Ketua-ketua Jabatan lain.-EDISI UKAS