Pendidikan Percuma Persiap Anak Sarawak Kuasai AI, Teknologi Masa Depan
SIBU: Pelaksanaan pendidikan tinggi percuma di Sarawak bukan sekadar membuka peluang kepada anak negeri melanjutkan pengajian, malah menjadi strategi jangka panjang kerajaan untuk melahirkan modal insan berkemahiran tinggi yang mampu memacu ekonomi berteraskan kecerdasan buatan (AI), teknologi hijau dan ekonomi digital.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pembangunan masa depan Sarawak bergantung kepada keupayaan generasi muda menguasai ilmu serta teknologi baharu bagi memenuhi keperluan ekonomi yang semakin berkembang.
Menurut beliau, kerajaan mahu melahirkan lebih ramai graduan dalam bidang strategik seperti kecerdasan buatan (AI), aeroangkasa, semikonduktor, kejuruteraan, tenaga hijau serta psikologi yang bakal menjadi antara bidang penting dalam tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang.
Katanya, perubahan gaya hidup masyarakat dunia turut menyaksikan peningkatan cabaran kesihatan mental dan tekanan hidup, justeru bidang psikologi juga diberi penekanan bagi menyediakan tenaga pakar yang mampu membantu masyarakat pada masa hadapan.
"Sebab itulah Kerajaan Sarawak memperkenalkan pendidikan tinggi percuma. Kita mahu anak-anak Sarawak memperoleh ilmu dan kemahiran yang diperlukan dalam bidang teknologi baharu, kecerdasan buatan (AI), tenaga hijau, ekonomi digital, kejuruteraan dan pelbagai sektor strategik yang akan membentuk ekonomi masa hadapan," katanya ketika berucap semasa Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Sibu 2026 di Dataran Tun Tuanku Haji Bujang pada Sabtu.
Sementara itu jelasnya, masa depan Sarawak bergantung kepada generasi muda yang bakal meneruskan agenda pembangunan negeri, sekali gus menyeru mereka supaya menguasai teknologi, pengurusan alam sekitar serta bidang yang mampu memberi nilai tambah kepada sumber dan kekuatan ekonomi Sarawak.
Pada masa sama, beliau menegaskan bahawa dunia kini memasuki era kecerdasan buatan yang tidak lagi mengenal batas kaum atau latar belakang, sebaliknya menuntut rakyat memiliki ilmu, kemahiran dan daya saing untuk memanfaatkan teknologi tersebut.
"Pendidikan merupakan pelaburan paling penting bagi memastikan Sarawak mempunyai modal insan yang mampu menerajui pembangunan negeri selepas tahun 2030 serta merealisasikan aspirasi menjadi ekonomi berpendapatan tinggi dan peneraju ekonomi hijau di rantau ini," katanya.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Menteri-Menteri dan Timbalan Menteri Persekutuan, Timbalan-Timbalan Menteri, Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sarawak, ketua-ketua jabatan serta kenamaan yang lain.-EDISI UKAS