Program Bantuan Lesen B2 Perluas Peluang Belia Miliki Lesen Memandu Sah
MIRI: Program Bantuan Lesen Memandu Motosikal Kelas B2 2026 membuka peluang kepada lebih ramai belia dan golongan yang memerlukan memiliki lesen memandu secara sah pada kos mampu milik, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran pekerjaan serta menggalakkan pematuhan undang-undang jalan raya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut merangkap Datuk Bandar Bandaraya Miri, Adam Yii Siew Sang berkata, program itu merupakan antara inisiatif yang membantu meringankan beban kewangan rakyat, khususnya pelajar, belia yang baru memasuki alam pekerjaan dan keluarga berpendapatan rendah untuk mendapatkan lesen memandu.
“Program ini memberi peluang kepada lebih ramai rakyat, khususnya golongan belia dan mereka yang memerlukan, untuk mendapatkan lesen memandu motosikal secara sah dengan kos yang jauh lebih rendah. Memiliki lesen bukan sahaja memenuhi syarat undang-undang, malah membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan memudahkan urusan harian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Bantuan Lesen Memandu Motosikal Kelas B2 2026, di sini pada Sabtu.
Menurut beliau, daripada 240 permohonan yang diterima, seramai 199 peserta berjaya dipilih menyertai program tersebut dengan kadar bayaran hanya RM250, jauh lebih rendah berbanding kos latihan biasa.
Katanya, pemilikan lesen memandu yang sah menjadi antara keperluan penting dalam meningkatkan mobiliti dan kebolehpasaran seseorang, selain membolehkan mereka menjalankan urusan harian serta pekerjaan dengan lebih selamat dan teratur.
Adam Yii turut mengingatkan peserta supaya menggunakan lesen yang diperoleh secara bertanggungjawab serta sentiasa mematuhi peraturan jalan raya.
“Lesen memandu bukan tiket untuk berlumba di jalan raya atau terlibat dalam aktiviti mat rempit. Gunakan motosikal untuk tujuan yang baik seperti bekerja, belajar, menjalankan urusan keluarga atau mencari rezeki. Keselamatan di jalan raya adalah tanggungjawab kita bersama,” katanya lagi.
Turut hadir, Ketua Cawangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Miri Yusuf Andan. -EDISI UKAS