TEGAS Perkasa Ekosistem ‘Startup’ Sarawak, Lima Syarikat Pemula Terbaik Raih Pengiktirafan
KUCHING: Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) terus memperkukuh ekosistem syarikat pemula di negeri ini menerusi penganjuran TEGAS ‘Pre-Accelerator Bootcamp’ 2026, yang bukan sahaja melahirkan usahawan teknologi berdaya saing, malah menjadi platform mencungkil lima syarikat pemula berpotensi tinggi pada ‘Demo Day’ program itu.
Timbalan Menteri Perancang Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak merangkap Pengerusi TEGAS, Datuk Len Talif Salleh berkata, pembangunan bakat dalam bidang inovasi, teknologi dan keusahawanan digital merupakan antara keutamaan Kerajaan Sarawak bagi merealisasikan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) serta Sarawak Digital Economy Blueprint 2030.
Menurut beliau, program yang memasuki edisi kelapan sejak diperkenalkan pada 2018 itu terus menjadi inisiatif utama TEGAS dalam membangunkan syarikat pemula menerusi rangkaian TEGAS Digital Village dan Digital Innovation Hub di seluruh Sarawak.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga merangkap Ahli Lembaga Pemegang Amanah TEGAS, Dayang Noorazah Awang Sohor, dalam program TEGAS ‘Pre-Accelerator Bootcamp’ 2026, di sini pada Sabtu.
Katanya, edisi kali ini menampilkan pembaharuan menerusi kerjasama strategik bersama ‘Growth Through Innovation’ (GTI) yang memperkenalkan kurikulum berteraskan kecerdasan buatan (AI), sekali gus membolehkan peserta menguasai aspek pengesahan pasaran, pembangunan model perniagaan, ekonomi unit, strategi pemasaran serta pembangunan prototaip dalam tempoh yang singkat.
Beliau berkata, TEGAS turut menyediakan ekosistem pembangunan usahawan yang menyeluruh melalui pelbagai inisiatif termasuk SCALE Sarawak Programme, Shell LiveWIRE Malaysia dan Landing Pad Programme, yang membuka peluang kepada syarikat pemula Sarawak mengembangkan perniagaan ke peringkat antarabangsa serta membina jaringan bersama pelabur dan pemain industri global.
Beliau turut menggesa para peserta supaya memanfaatkan sepenuhnya latihan, bimbingan mentor dan kemudahan yang disediakan TEGAS dengan terus meningkatkan kemahiran, mengadaptasi teknologi AI serta memperkukuh model perniagaan bagi melahirkan syarikat yang mampan, inovatif dan berdaya saing di pasaran global.
Program intensif yang berlangsung selama lima hari bermula 6 hingga 10 Julai lalu menghimpunkan 25 syarikat pemula, dengan 10 daripadanya dipilih sebagai finalis untuk membentangkan idea dan penyelesaian inovatif kepada panel penilai yang terdiri daripada tokoh industri sebelum lima syarikat terbaik dipilih.
Lima syarikat pemula yang diumumkan sebagai pemenang ialah Trigona Bidara, Pangkas, GoAcara, Ritma Insights dan Borneo Origin. Setiap pemenang menerima hadiah wang tunai RM2,000, akses percuma kepada ruang kerja bersama di TEGAS Digital Village Kuching serta TEGAS Digital Innovation Hub di Batu Kawa, Bintulu dan Miri.
Mereka turut menerima penyertaan percuma ke Intellectual Property (IP) Masterclass) hasil kerjasama strategik TEGAS bersama Mindswitch, sebagai sokongan kepada usaha mempercepatkan pembangunan dan pengkomersialan inovasi masing-masing.
Turut hadir Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ‘Growth Through Innovation’ Ken Lau dan Pengasas Bersama merangkap Ketua Pegawai Operasi Kumpulan ZUS Coffee Venon Tian. -EDISI UKAS