Bantuan FTES Buka Peluang Keemasan Anak B40 Sarawak Sambung Pengajian Tinggi
SIBU: Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) terbukti memainkan peranan penting dalam meringankan beban kewangan keluarga berpendapatan rendah (B40) di Sarawak untuk menghantar anak-anak mereka ke menara gading.
Manfaat skim bantuan khas tersebut disuarakan sendiri oleh salah seorang penerimanya, Elizbeth Sawai Joseph, yang kini sedang mengikuti pengajian Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dengan Kepujian di Universiti Teknologi Sarawak (UTS).
Menurut Elizbeth, bantuan kewangan yang disalurkan oleh pihak kerajaan itu telah berjaya menepis kekangan terbesar yang dihadapi oleh keluarganya untuk membolehkan dia menyambung pelajaran.
"Perasaan saya apabila mendapat maklumat bahawa saya salah seorang penerima FTES, saya rasa sangat gembira dan bersyukur sebab ini dapat meringankan beban ibu bapa saya.
"Cabaran terbesar untuk sambung pengajian adalah pertama dari segi kewangan. Jadi sudah tentu dengan bantuan yang diberikan oleh pihak kerajaan, ia dapat meringankan beban kewangan bagi pihak ibu bapa saya," katanya.
Beliau ditemui UKAS setelah menerima tawaran tersebut menerusi simbolik penyerahan yang disempurnakan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg sempena perasmian program Sarawakku Sayang (SKS) Peringkat Bahagian Sibu di Dataran Tun Tuanku Haji Bujang, pada Sabtu.
Mengulas mengenai kepentingan skim tersebut, Elizbeth menyifatkan FTES sebagai pemacu utama yang membuka ruang pengajian tinggi kepada anak-anak Sarawak, khususnya daripada golongan B40 yang berhasrat melanjutkan pelajaran tetapi berdepan kekangan kewangan.
"Kepentingan FTES kepada pelajar Sarawak adalah ia dapat membantu golongan-golongan yang berada dalam B40. Yang kedua adalah sudah tentu ramai pelajar ataupun orang di luar sana yang ingin sambung belajar.
"Ini adalah salah satu peluang dan kesempatan untuk kita ambil sebab ia sangat jarang ditawarkan pada masa ini. Jadi kena rebut peluang ini," ujarnya.
Kejayaan Elizbeth melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah di UTS turut mencipta sejarah peribadi apabila dia menjadi individu pertama dalam keluarganya yang berjaya berbuat demikian.
Pencapaian ini merealisasikan impian kedua-dua orang tuanya yang sebelum ini tidak berpeluang menjejakkan kaki ke menara gading.
"Respon daripada ibu bapa saya, mereka rasa sangat terharu dan gembira. Sebab mereka dulu pun tidak sampai sejauh ini jadi mereka sangat bangga. Ibarat saya adalah diri mereka yang dapat melanjutkan pengajian tinggi," luah Elizbeth.
Sebagai menghargai sokongan kerajaan negeri, pelajar semester satu ini menegaskan tekadnya untuk belajar bersungguh-sungguh dan tidak bersikap sambalewa, di samping menguruskan masa dengan baik demi menyesuaikan diri dengan situasi pembelajaran universiti yang berbeza daripada peringkat diploma.
"Saya nak ucapkan terima kasih kepada Kerajaan Sarawak kerana memberikan peluang ini kepada saya," katanya.-EDISI UKAS