Perundangan Negara Perlu Diperkukuh Untuk Tangani Fahaman Radikal
KUCHING: Perundangan negara perlu terus diperkukuh bagi menangani ancaman fahaman radikal dan ekstremis, namun usaha membentuk sahsiah masyarakat berlandaskan nilai murni perlu kekal menjadi keutamaan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, meskipun Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) sedia ada, akta itu tidak sekuat Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dalam membendung ancaman keselamatan termasuk isu melibatkan agama, kaum dan institusi diraja (3R).
“Yang itu sudah pun dibuat keputusan dasar tapi sebab itu kita kena perkukuhkan perundangan negara kita.
“SOSMA kita tahu memang dah ada, tetapi SOSMA tidak sekukuh apabila adanya ISA untuk kita membendung 3R sekalipun, memang amat payah sekali,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penangguhan Seminar Kelestarian Islam Nusantara Sarawak Maju Makmur 2026M/1448H di Hikmah Exchange Event Centre (HEEC), di sini pada Sabtu.
Bagaimanapun, Datuk Amar Fadillah memberitahu, sebarang usaha memperkukuh perundangan perlu mengambil kira keseimbangan antara aspek keselamatan negara dan keharmonian masyarakat, selain memenuhi piawaian antarabangsa.
Menurut beliau, perundangan hanyalah langkah terakhir dalam menangani ancaman keselamatan, manakala usaha membentuk sahsiah dan nilai murni dalam kalangan masyarakat perlu diberi keutamaan.
Mengulas lanjut, beliau menekankan pembentukan sahsiah itu lebih penting daripada memfokuskan kepada perundangan kerana ia merupakan pendekatan paling berkesan untuk membendung penularan fahaman radikal serta ekstremis dalam kalangan masyarakat.
“Yang lebih penting ialah membentuk nilai manusia itu sendiri kerana pembentukan sahsiah itu lebih penting kepada saya daripada kita memfokuskan kepada perundangan.
“Sebab akhirnya, kalau setiap individu dapat dilahirkan dengan sahsiah yang baik, maka sifat radikal dan sifat ekstrem itu boleh kita ketepikan maka akhirnya orang semua sentiasa berkasih sayang antara satu sama lain,” jelas beliau lagi.
Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ayub Khan Mydin Pichey, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datuk Misnu Taha, Mufti Sabah Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar, Pengarah Kanan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia Dr Yamin Ismail serta dif kehormat lain. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Muhd Zulfadhli Ahmad Sharir