Sistem Paip Graviti Kampung Raso 1 Bakal Dinaik Taraf
LUNDU: Sistem paip graviti di Kampung Raso 1 bakal dinaik taraf bagi memastikan bekalan air lebih stabil dan berdaya tahan, sekali gus meningkatkan kualiti hidup penduduk di kawasan berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang berkata, projek naik taraf itu akan dilaksanakan menerusi permohonan di bawah Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA), dengan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) kini sedang menyediakan anggaran kos pelaksanaannya.
Menurut beliau, projek berkenaan melibatkan penambahbaikan struktur empangan, pembinaan lantai konkrit serta penyusunan semula saluran paip utama bagi meningkatkan kecekapan dan ketahanan sistem bekalan air.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Program Gotong-Royong Penyelenggaraan Sistem Paip Graviti Kampung Raso 1 yang disertai lebih 50 penduduk di kampung tersebut, pada Sabtu.
Program yang dianjurkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Raso 1 itu dilaksanakan sebagai langkah segera bagi mengatasi masalah kebocoran di kawasan empangan yang menjejaskan bekalan air kepada kira-kira 120 buah rumah.
Antara kerja penyelenggaraan yang dijalankan ialah mengisi pasir ke dalam guni bagi membina benteng di sekeliling tebing dan empangan untuk mengurangkan risiko kebocoran serta memastikan bekalan air terus disalurkan kepada penduduk.
Billy turut menggalakkan pihak kampung mengemukakan permohonan pembinaan jalan pertanian menuju ke kawasan empangan bagi memudahkan kerja penyelenggaraan dan pemantauan sistem paip graviti pada masa hadapan.
Sementara itu, Setiausaha Biro Paip Graviti Kampung Raso 1, Andulu Nagos berkata, aktiviti gotong-royong penyelenggaraan lazimnya diadakan dua kali setahun, namun kerosakan yang berlaku kali ini memerlukan tindakan segera bagi mengelakkan gangguan bekalan air berpanjangan.
Menurut beliau, kutipan yuran penyelenggaraan sebanyak RM15 bagi setiap rumah masih belum mencukupi untuk menampung kos pembaikan yang semakin meningkat. -EDISI UKAS