Breaking News Run 2.0 Night Edition Himpun 980 Peserta, Perkukuh Jalinan Media & Komuniti
KUCHING: Program 'Breaking News Run 2.0 Night Edition' berjaya menghimpunkan seramai 980 peserta sekali gus menyemarakkan budaya hidup aktif dan memperkukuh hubungan antara pengamal media dengan masyarakat setempat pada Sabtu.
Pengerusi Commonwealth Journalists Association (CJA) Cawangan Sarawak, Nancy Nais berkata, sambutan menggalakkan itu membuktikan peningkatan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan gaya hidup sihat di samping menyuburkan semangat kebersamaan.
"Breaking News Run bukan sekadar acara larian biasa, malah ia merupakan platform strategik yang menyatukan pengamal media, rakan industri dan masyarakat dalam mempromosikan kesihatan serta kecergasan komuniti," katanya dalam kenyataan media.
Beliau turut menzahirkan penghargaan atas sokongan padu daripada para penaja, rakan strategik, jawatankuasa penganjur, sukarelawan serta seluruh peserta yang menyumbang kepada kejayaan program berkenaan.
Tambah Nancy, CJA Sarawak berharap agar program tersebut dapat diangkat sebagai antara acara larian komuniti utama di bandar raya ini serta terus menginspirasikan orang ramai untuk mengamalkan aktiviti fizikal.
Sementara itu, Presiden Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA), Ronnie Teo menjelaskan bahawa program sedemikian amat penting bagi membantu warga media mengimbangi tuntutan kerjaya dengan penjagaan kesihatan diri.
"Landskap industri media yang dinamik dan bergerak pantas memerlukan pengamalnya sentiasa cergas dari segi fizikal serta mental demi memastikan penyampaian maklumat kepada masyarakat kekal efektif," ujar beliau.
Katanya lagi, KDJA dan CJA Sarawak komited untuk meneruskan kerjasama strategik itu pada masa akan datang menerusi pelbagai program yang berupaya memupuk budaya sihat dan mengeratkan hubungan dengan komuniti.
Program anjuran bersama CJA Cawangan Sarawak dan KDJA itu mempertandingkan dua kategori utama iaitu Larian Kompetitif sejauh 7 kilometer dan Larian Santai sejauh 3 kilometer.
Majlis pelepasan serentak bagi kedua-dua kategori peserta itu telah disempurnakan oleh Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah pada jam 7.20 malam di pekarangan Hotel Pullman, Kuching.
Larian tersebut bermula dari Hotel Pullman dan berakhir di pusat beli-belah The Hills dengan laluan merentasi beberapa lokasi ikonik di sekitar bandar raya Kuching.
Penganjuran acara berprestij ini mendapat sokongan penuh daripada rakan penaja termasuk Anytime Fitness, FHR Alliance, Kementerian Belia dan Sukan, Petra Energy Berhad, Pullman Kuching, The Hills, Lee Fah Mee Trading, TSL Marketing Sdn. Bhd. dan Harissons Trading.
Selain aktiviti larian, para peserta turut berpeluang memenangi pelbagai hadiah cabutan bertuah menarik antaranya keahlian Anytime Fitness selama setahun, tablet Honor Pad X8a, kasut larian Brooks, pakej penginapan dan makan malam di Pullman Kuching serta baucar urutan Attiya Spa.
Kemeriahan edisi malam kali ini turut diserikan lagi dengan kemeja-T eksklusif bertemakan Piala Dunia menampilkan rekaan negara Argentina, Brazil dan Jerman.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang Dato Lo Khere Chiang dan ADUN Kota Sentosa Wilfred Yap Yau Sin. -EDISI UKAS