Karnival Komuniti Zon 2 Simunjan Satukan 11 Kampung
SIMUNJAN: Karnival Komuniti Zon 2 Simunjan berjaya menyatukan 11 buah kampung yabg bersama-sama memeriahkan karnival yang di Stadium Mini Simunjan, pada Sabtu.
Program anjuran bersama Pusat Khidmat Parlimen Batang Sadong dan Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Simunjan dengan kerjasama Persatuan Komuniti Zon 2 Simunjan itu menjadi platform menyatukan masyarakat menerusi pelbagai aktiviti kemasyarakatan, kesukanan dan kekeluargaan yang menyemarakkan semangat muafakat dalam kalangan penduduk.
Sebanyak 11 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) menyertai karnival berkenaan, melibatkan Kelka Hilir, Kelka Tengah, Kelka Hulu, Sageng Hilir, Sageng Tengah, Sageng Hulu, Sageng Sabal, Sageng Baru, Hijrah Fasa 1, Hijrah Fasa 2 dan Lintang Hijrah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris bersama isteri, Nafsiah Abang Kaderi hadir memeriahkan program dengan meluangkan masa beramah mesra bersama penduduk serta menyaksikan pelbagai acara yang dipertandingkan sebelum menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang.
Karnival yang bermula seawal jam 7 pagi itu dimulakan dengan aktiviti Senam Seni dan Fundance sebelum diteruskan dengan pertandingan mewarna warga emas, menganyam ketupat sate serta Sukan Rakyat yang mempertandingkan 14 acara.
Antara acara yang paling mencuri tumpuan ialah pertandingan tarik kudak, tarik tali, Iron Man dan Iron Woman yang berlangsung dalam suasana penuh semangat kesukanan, sekali gus memperlihatkan kerjasama erat serta semangat kekitaan dalam kalangan peserta.
Selain aktiviti rekreasi, pengunjung turut memanfaatkan pelbagai perkhidmatan yang disediakan oleh agensi kerajaan termasuk Agensi Pembangunan Bersepadu Wilayah Samarahan (IRSDA), Pejabat Kesihatan Daerah Simunjan yang menawarkan saringan kesihatan, Majlis Daerah Simunjan, Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Simunjan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Daerah Simunjan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta kaunter pendaftaran keahlian baharu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).
Penganjuran karnival itu turut memberi limpahan ekonomi kepada komuniti setempat menerusi penyertaan gerai jualan makanan dan minuman yang menyediakan ruang kepada usahawan tempatan memasarkan produk masing-masing.
Kemuncak program pada sebelah malam menampilkan Malam Pentas Komuniti dengan pertandingan akhir karaoke melibatkan 10 peserta terbaik kategori lelaki dan wanita, selain pertandingan Fesyen Kanak-Kanak serta persembahan artis tempatan Rizal Ayub dan artis cilik Nur Atirah Syahirah.
Program yang berlangsung selama tiga hari itu akan melabuhkan tirainya pada Ahad menerusi majlis penangguhan yang dijadual disempurnakan oleh Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee bersama Awla. -EDISI UKAS