Program Komunitiku Sayang Perkukuh Kesiapsiagaan Komuniti Hadapi Bencana
MARUDI: Program Komunitiku Sayang memperkukuhkan kesiapsiagaan komuniti menghadapi bencana menerusi pemerkasaan pengetahuan, latihan dan kerjasama pelbagai agensi, sekali gus meningkatkan tahap keselamatan serta daya tahan masyarakat di peringkat akar umbi.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Dr Penguang Manggil berkata, program berkenaan memberi penekanan kepada usaha membina komuniti yang lebih bersedia menghadapi sebarang situasi kecemasan melalui penglibatan aktif pemimpin masyarakat, ketua kampung dan penduduk.
“Program ini bertujuan mempersiapkan pemimpin masyarakat, ketua kampung dan penduduk supaya sentiasa bersedia menghadapi apa jua bencana yang mungkin berlaku di kawasan masing-masing.
“Pada masa sama, ia mengeratkan kerjasama antara agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti dalam memperkukuh pengurusan bencana di peringkat setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutupan Program Komunitiku Sayang Siri 7 di Balai Raya Kampung Narum, di sini pada Sabtu.
Menurut beliau, kerjasama erat antara kerajaan, agensi berkaitan, NGO dan komuniti membolehkan perkongsian pengalaman, pengetahuan serta maklum balas dilaksanakan secara berterusan bagi membantu kerajaan merangka langkah yang lebih berkesan dalam meningkatkan tahap kesiapsiagaan dan keselamatan masyarakat.
Dalam perkembangan sama, Datuk Dr Penguang berkata keperluan penyediaan kemudahan keselamatan seperti balai bomba dan balai polis di Marudi akan terus diketengahkan sejajar dengan pertumbuhan kawasan dan peningkatan keperluan penduduk.
Program anjuran Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) itu melibatkan kira-kira 120 peserta daripada empat kampung dengan pelbagai pengisian berkaitan keselamatan kebombaan, kesihatan awam dan pemeliharaan alam sekitar.
Sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kesiapsiagaan komuniti, BPHB turut menyampaikan 150 unit alat pemadam api jenis ABC Serbuk Kering seberat sembilan kilogram kepada peserta bagi meningkatkan keupayaan komuniti bertindak balas terhadap insiden kebakaran.
Pada majlis sama, Yayasan Bintulu Port menyalurkan sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada komuniti Kampung Narum berupa sebuah sistem pembesar suara, 50 unit kerusi dan lima unit meja bulat bagi menyokong pelaksanaan aktiviti kemasyarakatan.
Sejak diperkenalkan pada November 2023, Program Komunitiku Sayang telah dilaksanakan di Pusa, Bintulu, Uma Sambop, Kapit, Uma Badeng, Dalat dan Marudi, memberi manfaat kepada lebih 1,000 peserta dari lebih 50 kampung di seluruh Sarawak.
Turut hadir, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPHB Dato Ruslan Abdul Ghani, Ketua Cawangan Keselamatan Kebakaran Zon 6 Pejabat Bomba Zon Miri, Penguasa Kanan Bomba II Rafie Sapar, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Bintulu Port merangkap Pengerusi Bersama Program Komunitiku Sayang Maslihah Tioh dan Ketua Kaum Kampung Narum Hasyim Tobi. -EDISI UKAS