Miss SHOPHia Shopping Hunt 2026 Sokong Promosi Tahun Melawat Malaysia 2026
KUCHING: Miss SHOPHia Shopping Hunt 2026 menjadi antara inisiatif menyokong Kempen Mega Sales 2026 serta mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2026 (Visit Malaysia Year 2026) menerusi aktiviti membeli-belah, pelancongan dan penglibatan komuniti.
Program anjuran CATS FM dengan kerjasama Tourism Malaysia itu memasuki edisi ketiga penganjurannya dan terus menjadi platform memperkenalkan produk tempatan, jenama usahawan Sarawak serta tarikan pelancongan negeri kepada masyarakat.
Pengarah Urusan Kristal Harta (CATS FM), Mohd Iskandar Mohd Nawawi berkata, kerjasama strategik bersama Tourism Malaysia mencerminkan komitmen berterusan CATS FM dalam menyokong agenda pelancongan negara melalui platform media yang dekat dengan masyarakat.
"Melalui Miss SHOPHia Shopping Hunt 2026, CATS FM berbangga dapat memainkan peranan dalam mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2026 dengan mengetengahkan keunikan Sarawak kepada masyarakat.
“Program ini bukan sahaja menggalakkan aktiviti membeli-belah, malah menjadi platform memperkenalkan produk tempatan, jenama usahawan Sarawak dan tarikan pelancongan negeri ini, di samping mengeratkan hubungan antara CATS FM dengan para pendengar,” katanya semasa berucap pada majlis penyampaian hadiah kepada peserta di sini, pada Sabtu.
Edisi kali ini menyaksikan penyertaan yang lebih menggalakkan dengan pelbagai cabaran, aktiviti interaktif serta hadiah menarik yang disediakan kepada peserta.
Program tersebut turut mendapat sokongan daripada rakan strategik, penaja, wakil media dan pempengaruh yang bersama-sama membantu memperluaskan promosi Kempen Mega Sales 2026 serta Tahun Melawat Malaysia 2026. -EDISI UKAS