Kecemerlangan Akademik, Sukan Perlu Bergerak Seiring Bentuk Generasi Berdaya Saing
MUKAH: Kecemerlangan akademik dan sukan perlu bergerak seiring bagi melahirkan generasi yang berdaya saing, berdisiplin serta memiliki sahsiah unggul.
Pengerusi Persekutuan Wushu Negeri Sarawak, Allen Wong Siew Poh berkata, penglibatan dalam sukan bukan sahaja mampu membentuk disiplin, keyakinan diri dan sahsiah, malah perlu diseimbangkan dengan kecemerlangan dalam bidang akademik.
"Jadikan sukan sebagai platform membina sahsiah diri, namun pelajaran tetap perlu diberi keutamaan kerana kedua-duanya saling melengkapi dalam membentuk individu yang berjaya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kejohanan Wushu Taolu dan Wushu Sanda Terbuka 2026 di Dewan Suarah Mukah, pada Sabtu.
Dalam pada itu, Allen berkata kejohanan tersebut berperanan sebagai platform melahirkan atlet yang berdaya saing dan memiliki semangat kesukanan yang tinggi.
Beliau turut mengingatkan para peserta agar menjadikan pertandingan sebagai medan menguji kemampuan, menimba pengalaman dan membina keyakinan diri, bukan sekadar mengejar kemenangan.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Wushu Bahagian Mukah, Ho Ing Siong berkata, kejohanan kali ini menerima sambutan menggalakkan dengan penyertaan daripada pelbagai bahagian di Sarawak.
Katanya, kejohanan tersebut menghimpunkan peserta dari Mukah, Balingian, Dalat, Oya, Sibu, Kanowit, Sarikei, Bintulu, Kuching dan Miri.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada ibu bapa, penaja dan pelbagai pihak atas sokongan berterusan yang menjadi pemangkin kepada atlet untuk terus mencapai kecemerlangan dalam sukan wushu.
Pada majlis sama, Persatuan Wushu Bahagian Mukah turut menerima Geran Padanan Sukan (GPS) berjumlah RM20,000.
Turut hadir, wakil Residen Bahagian Mukah Mohd Amirul Valentine Laiseh, Pegawai Bahagian Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MySED) Mukah Rasidah Rasit dan Penolong Pegawai Jabatan Belia dan Sukan Bahagian Mukah Mohd Arbi Rosli. -EDISI UKAS