Latihan Berkala, Kesedaran Awal Kunci Cegah Kemalangan
BINTULU: Kesedaran keselamatan dan latihan berkala perlu diperkukuh dalam kalangan masyarakat, khususnya penduduk rumah panjang dan kampung, bagi meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi kecemasan serta mengelakkan kehilangan nyawa dan kemusnahan harta benda.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, budaya keselamatan perlu diterapkan sejak kecil dan dijadikan amalan harian, bukan hanya diberi perhatian apabila berlaku insiden.
Menurutnya, tanggungjawab menjaga keselamatan memerlukan penglibatan semua pihak kerana pencegahan kemalangan tidak boleh diserahkan kepada pihak industri atau agensi berkaitan semata-mata.
“Keselamatan bukan hanya melibatkan aspek fizikal.”
“Keselamatan juga merangkumi segala-galanya, termasuk cara kita menjalani kehidupan, khususnya di bandar, serta bagaimana kita mengelakkan kemalangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Komuniti Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar (HSE) MLNG: Kawalan Bahaya Kemalangan Besar Industri (CIMAH) ITP 2026, di sini pada Rabu.
Dato Sri Dr Stephen Rundi berkata, penduduk perlu memahami potensi bahaya di persekitaran masing-masing, selain mengetahui langkah pencegahan dan tindakan sewajarnya ketika berdepan kecemasan, khususnya kebakaran.
Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya memastikan alat pemadam api berada dalam keadaan baik dan mengetahui cara menggunakannya dengan betul apabila diperlukan.
Bagi penduduk rumah panjang, pengetahuan mengenai lokasi berkumpul dan prosedur menyelamatkan diri ketika kebakaran juga penting bagi memastikan semua penghuni dapat bertindak dengan pantas dan teratur.
Tambahnya, amalan saling mengingatkan tentang keadaan yang berpotensi membahayakan orang lain perlu dipupuk bagi membina komuniti yang lebih peka dan bertanggungjawab terhadap keselamatan bersama.
Turut hadir, Residen Bahagian Bintulu, Datu Nyurak Keti dan Pengarah Jabatan Pertanian Sarawak, Datu Dominic Chunggat. -EDISI UKAS