PRN Ke-13: GPS Sedia Bertanding Di Semua 82 Kerusi
KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengesahkan akan bertanding di semua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-13.
Pengerusi GPS yang juga Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi GPS yang dihadiri presiden parti-parti komponennya pada Rabu.
Menurut beliau, GPS kini bersedia menghadapi pilihan raya berkenaan, namun langkah seterusnya bergantung kepada pengumuman tarikh-tarikh penting oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Satu perkara yang boleh saya umumkan ialah GPS akan bertanding di semua 82 kerusi. Itu merupakan keputusan kita.
“Bagi perkara lain, kita menunggu pengumuman SPR berhubung tarikh pilihan raya dan selepas itu, barulah kita mengetahui langkah seterusnya yang akan diambil,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi GPS di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini pada Rabu.
Mengulas mengenai pembahagian kerusi antara parti komponen GPS, beliau menjelaskan perkara itu akan diperincikan dengan mengambil kira kedudukan semasa, termasuk kerusi yang dimenangi calon parti berkenaan pada pilihan raya terdahulu.
Katanya, senarai calon GPS akan dimuktamadkan sebelum hari penamaan calon selepas SPR mengumumkan tarikh-tarikh penting PRN Ke-13.
GPS dianggotai empat parti komponen, iaitu PBB, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).
Pada PRN Ke-12, GPS memenangi 76 daripada 82 kerusi DUN Sarawak, dengan PBB memperoleh 47 kerusi, SUPP (13), PRS (11) dan PDP (lima).
Jumlah kerusi GPS kemudian meningkat kepada 79 pada 2024 susulan pembubaran Parti Sarawak Bersatu (PSB), apabila tiga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu menyertai PDP.
Sokongan ADUN Batu Lintang, See Chee How yang berstatus Bebas, turut menjadikan jumlah kerusi yang menyokong GPS sebanyak 80, manakala dua lagi kerusi dipegang Parti Tindakan Demokratik (DAP).-EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Hazrin Sunaini