SERIAN: Peluang melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah tanpa dibebani kos yuran pengajian menjadi kelegaan buat keluarga Sabrina Melissa Steward dari Kampung Rayang, Serian, yang menerima tawaran Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) untuk menyambung pengajian di Universiti Curtin Malaysia.
Sabrina, anak bongsu daripada tiga beradik, bakal mengikuti program Ijazah Sarjana Muda Sains (Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar) selepas menamatkan pengajian peringkat diploma di Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Ibunya, Priscillian Jilian berkata, inisiatif Kerajaan Sarawak itu membuka peluang kepada anaknya untuk meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi, di samping mengurangkan beban kewangan keluarga dalam membiayai pendidikan.
Menurutnya, beliau mengetahui mengenai FTES menerusi hebahan kerajaan negeri sebelum menggalakkan Sabrina memohon skim berkenaan.
“Terima kasih kepada Kerajaan Sarawak, khususnya Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, kerana memperkenalkan inisiatif ini untuk anak-anak Sarawak.
“Dengan adanya bantuan pendidikan percuma ini, anak-anak yang berjaya dalam pelajaran berpeluang melanjutkan pengajian tanpa terlalu dibebani masalah kewangan, sekali gus membantu memastikan mereka tidak tercicir daripada mendapatkan pendidikan tinggi,” katanya ketika ditemui Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), di sini pada Selasa.
Beliau berharap Sabrina memanfaatkan peluang itu dengan memberikan sepenuh komitmen terhadap pengajian, selain menjadikan kejayaan akademik sebagai asas untuk membina masa depan yang lebih baik.
Sementara itu, datuk kepada Sabrina, Jilian Jais berkata, beliau berasa gembira dan bangga apabila cucunya berjaya mendapat tempat di universiti menerusi skim berkenaan.
Menurutnya, FTES boleh menjadi dorongan kepada anak-anak Sarawak untuk berusaha lebih gigih dalam pendidikan, tanpa mengira latar belakang kaum atau keluarga.
“Saya gembira kerana cucu saya berjaya menyambung pelajaran ke peringkat universiti dan mendapat tawaran Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak ini.
“Saya berharap semua anak Sarawak belajar bersungguh-sungguh dan mengambil peluang yang telah diberikan oleh Kerajaan Sarawak. Inisiatif seperti ini dapat mendorong anak-anak untuk belajar dengan lebih tekun lagi,” katanya.
Beliau turut berharap lebih ramai anak Sarawak, termasuk daripada masyarakat Bidayuh, memanfaatkan peluang pendidikan yang disediakan bagi merealisasikan cita-cita mereka. -EDISI UKAS