Cakera Storan Berasaskan Kaca Bakal Dihasilkan Di Sarawak
KUCHING: Sarawak bakal mencipta satu lagi sejarah dalam industri semikonduktor apabila menjadi lokasi pertama di dunia menghasilkan cakera storan berasaskan kaca.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, teknologi tersebut menggunakan kaca sebagai bahan utama menggantikan silikon yang lazim digunakan pada masa ini.
“Cakera storan ini yang pertama dalam dunia akan dikeluarkan oleh Sarawak menggunakan kaca, tidak menggunakan silikon dan ini akan menjadi masa depan industri semikonduktor," katanya
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis ‘Reunion’ Dan Makan Malam Amal Persatuan Bekas Pelajar Kolej Tanjung Lobang di sebuah hotel terkemuka, di sini, pada Sabtu.
Menurutnya, Sarawak juga sedang membangunkan teknologi cip yang menggunakan cahaya, sekali gus memperkukuh kedudukan negeri itu sebagai hab teknologi maju.
Menarik lagi, Premier Sarawak turut berkongsi menyaksikan robot yang mampu menari ngajat semasa Pelancaran ‘New Horizons for Western Digital (WD) Sarawak baru-baru ini membuktikan kemampuan negeri ini dalam menerajui pembangunan teknologi berasaskan semikonduktor.
Jelasnya, robot tersebut dibangunkan oleh jurutera anak Sarawak yang berkhidmat di Western Digital, sekali gus membuktikan bakat tempatan mampu menghasilkan inovasi bertaraf dunia.
“Jadi apa yang saya nak cakap di sini ialah ekonomi kita adalah sangat maju dan kita memerlukan sumber tersebut dan kini dunia mengiktiraf kita sebab pelabur setiap bulan datang ke sini kerana mereka juga mahu melibatkan diri dalam ekonomi baharu kita,” ujarnya.
Justeru, beliau berharap alumni Kolej Tanjung Lobang dapat berkongsi kejayaan yang dicapai oleh generasi terdahulu bersama golongan muda bagi melahirkan lebih ramai bakat yang mampu memacu pembangunan teknologi dan ekonomi Sarawak pada masa depan. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: George Embie