Rezeki e-Peraduan SKS Sibu, Mohamad Fekrie Bawa Pulang Skuter EV
SIBU: Tuah nyata memihak kepada Mohamad Fekrie Barstani @ Bostari apabila beliau membawa pulang hadiah utama berupa sebuah skuter elektrik (EV) Zeeho AE4 selepas namanya diumumkan sebagai pemenang e-Peraduan sempena Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Sibu 2026 di Dataran Tun Tuanku Bujang, pada Ahad.
Ketika ditemui selepas majlis cabutan bertuah itu, Mohamad Fekrie yang berasal dari Pasai Siong melahirkan rasa syukur dan gembira kerana tidak menyangka penyertaan keduanya dalam peraduan tersebut menghadiahkannya kemenangan yang cukup bermakna.
Menurut beliau, penyertaannya pada awalnya hanyalah sekadar ingin mencuba nasib.
"Perasaan dapat hadiah cabutan bertuah moto EV ini gembira lah sebab tak sangka dapat. Ikut peraduan ni hanya nak cuba nasib,” katanya.
Mengulas mengenai penganjuran program berkenaan, Mohamad Fekrie menyifatkan SKS sebagai platform yang berkesan dalam menyampaikan maklumat berkaitan dasar, inisiatif dan pembangunan kerajaan kepada rakyat Sarawak.
"Manfaat dia, dia dapat memberi pendedahan kepada penduduk rakyat Sarawak lah. Apa yang kerajaan dah bangunkan,” jelasnya ketika ditanya mengenai impak program tersebut kepada rakyat.
Tambah beliau, sebelum memenangi hadiah utama itu, beliau telah mencuba menyertai e-Peraduan tersebut sebanyak dua kali.
Selain hadiah utama, pemenang tempat kedua dan ketiga masing-masing membawa pulang sebuah motosikal Modenas Kriss 125 Fi yang dimenangi oleh Hasroll Yusli dari Kampung Sri Hijrah Batu 6 dan Anuar Eli dari Kampung Sentosa.
Sementara itu, lapan lagi motosikal dimenangi oleh Ling Moh Leh, Vincent Ting, Semali Srah, Hadif Izz Hariz Abdullah, Dorisna Sandai, Sharifah Nadiah Wan Mashor, Isnawi Sahara dan Mohamad Yusri Yusoff. –EDISI UKAS