Kerajaan Perkukuh Pendekatan Turun Padang Demi Pembangunan Rakyat
SIBU: Kerajaan akan terus memperkukuh pendekatan turun padang bagi memastikan setiap dasar dan projek pembangunan benar-benar memenuhi keperluan rakyat.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Dato Sri Tiong King Sing berkata, Program Sarawakku Sayang bukan sekadar platform penyampaian maklumat mengenai dasar dan inisiatif kerajaan, malah menjadi medium penting untuk mendengar secara langsung pandangan, cadangan serta maklum balas masyarakat di peringkat akar umbi.
"Hubungan dua hala amat penting kerana pembangunan yang berkesan bukan hanya datang daripada pemimpin, tetapi perlu berpandukan keperluan sebenar rakyat," katanya ketika menyempurnakan Majlis Penangguhan Program Sarawakku Sayang Bahagian Sibu 2026 di Dataran Tun Tuanku Bujang, di sini, pada Ahad.
Ahli Parlimen Bintulu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong itu berkata, pendekatan turun padang perlu diteruskan agar kerajaan dapat melaksanakan dasar dan projek pembangunan dengan lebih berkesan, selain memastikan suara rakyat sentiasa diberi perhatian.
Beliau turut menegaskan bahawa pembangunan Sarawak pada masa depan tidak lagi boleh bergantung kepada sumber semula jadi semata-mata, sebaliknya memerlukan modal insan yang berilmu, berkemahiran dan mampu menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi serta ekonomi.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan golongan muda memanfaatkan peluang pendidikan, latihan dan pembangunan kemahiran bagi meningkatkan daya saing serta bersedia merebut peluang masa depan.
"Anak-anak muda perlu bersedia menjadi pemacu pembangunan Sarawak dengan melengkapkan diri dengan ilmu dan kemahiran yang relevan," katanya.
Dalam pada itu, Dato Sri Tiong berkata, perpaduan, keharmonian dan sikap saling menghormati yang menjadi kekuatan Sarawak selama ini perlu terus dipelihara kerana ia merupakan asas kepada kestabilan, pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Menurut beliau, kejayaan agenda Program Sarawakku Sayang hanya dapat direalisasikan apabila kerajaan dan rakyat bergerak seiring, memandangkan kejayaan sesuatu dasar bergantung kepada sokongan serta kerjasama semua pihak.
Hadir sama Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) merangkap Pengerusi Jawatankuasa SKS Bahagian (Sibu, Sarikei, Mukah dan Betong) Datu Hii Chang Kee, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah Anyi Jana, Residen Bahagian Sibu Superi Awang Said, Ketua-ketua Jabatan serta kenamaan lain. - EDISI UKAS