Lavinia Ungguli Keseluruhan Cabaran, Adik-Beradik Kho Rangkul Kejuaraan 'Roll-Off' Jun
KUCHING: Atlet boling semakin mencipta nama, Lavinia Kho Jia Jie terus mempamerkan aksi luar biasa dalam kejohanan SSC-ABAS U21 June Roll-Off 2026, dengan melakukan catatan +275 over par (200), sekali gus mengungguli kedudukan keseluruhan bagi kedua-dua kategori lelaki dan perempuan.
Berlangsung selama dua hari dari 11 hingga 12 Julai di Megalanes Sarawak, Emart Batu Kawa, kejohanan roll-off bulanan itu menghimpunkan pemain boling remaja Sarawak dalam satu lagi pusingan kompetitif bagi siri pembangunan SSC-ABAS U21.
Seperti dijangka, Lavinia mengekalkan penguasaan mendahului saingan sepanjang pertandingan untuk merangkul gelaran Perseorangan Perempuan, manakala adiknya, Eldred Kho Yek Zhen, menjuarai kategori Perseorangan Lelaki.
Kemenangan ini juga menandakan kali kedua dalam siri SSC-ABAS U21 Roll-Off 2026 di mana adik-beradik Kho ini berjaya merangkul gelaran Perseorangan Perempuan dan Lelaki secara bersama.
Terdahulu pada musim ini, Lavinia dan Eldred mencatatkan pencapaian yang sama dalam March Roll-Off, sekali gus mengukuhkan kedudukan mereka dalam kalangan pemain boling remaja terkemuka di Sarawak.
Walaupun kemenangan Jun ini melanjutkan rekod kejuaraan hebat Lavinia kepada 15 gelaran berturut-turut dalam siri SSC-ABAS U21 Roll-Off, prestasinya pada bulan ini amat menonjol kerana muncul sebagai pemenang keseluruhan kejohanan, mengatasi kesemua peserta lain dengan skor +275 over par.
Lavinia Kho menewaskan Nur Fathi Fatihah Mohammad Zakry di kedudukan kedua dalam acara utama perseorangan perempuan yang menyaksikan Adriana Ramiza Ramulo menduduki tempat ketiga.
Sementara Eldred Kho mengatasi Muhammad Isyraq Iqbal Ramadhan dan Muhammad Akmal Hakim Rushdi di tempat kedua dan ketiga dalam perseorangan lelaki.
Lavinia Kho turut mengungguli kategori Perempuan B21, menewaskan Adriana Ramiza Ramulo dan Claudia Kumang Jakson di tempat kedua dan ketiga.
Eldred Kho turut mengekori jejak cemerlang kakaknya apabila sama menjuarai kategori Lelaki B21 dengan mengatasi Muhammad Isyraq Iqbal dan Muhammad Akmal Hakim.
Bagi kategori Lelaki B16 pula, Muhammad Qaish Rayyan Mohamad Sabri dinobatkan selaku johan selepas menjinakkan Gerald Ethan Tony dan Chai Yew Hong di tempat kedua dan ketiga.
Manakala Arwynn Galleina Arthur Ray mendominasi kategori Perempuan B16 selepas menyingkirkan Bridgette Juliette Ian Macnally Majang dan Esther Verra Nilsson Leo masing-masing di tempat kedua dan ketiga.
Aksi Lelaki B13 pula menyaksikan Muhammad Amzar Ahmad Syukri, Tommy Kee Yong Hong dan Lee Tee Ker menduduki tiga kedudukan teratas.
Begitu juga bagi kategori Perempuan B13 yang diungguli Nur Fathi Fatihah Mohammad Zakry, kedua Maihanna Mazuan dan ketiga Kueh Wan Ting.
Tiga kedudukan teratas Lelaki B11 pula ialah Jonas Yap Zao Min, Alfred Phang Kang Yee dan Jared Yap Zao Fung.
Sementara pemenang kategori Perempuan B11 ialah Maisarra Mazuan, Isabel Mok Yi Nuo dan Syahieza Damia Syarul Nizam.
Penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Timbalan Presiden Persatuan Tenpin Boling Sarawak (ABAS) Shaifulbahri Shukri, Naib Presiden ABAS Robert Lu Nam Min dan Bong Kihow yang mewakili barisan jurulatih SSC dan ABAS.
June Roll-Off sekali lagi membuktikan kehebatan program boling remaja Sarawak, dengan menyaksikan para pemain bersaing merentasi pelbagai kategori umur dalam usaha mengutip pengalaman kejohanan yang berharga.
Program bulanan SSC-ABAS U21 Roll-Off terus menjadi platform penting untuk memantau perkembangan atlet serta mempersiapkan pemain boling muda ke arah kejohanan peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa yang lebih tinggi. - EDISI UKAS