Pasukan Todak Dinobat Raja Sungai Regatta Sejijak 2026
KUCHING: Pasukan Todak Berjaya mengesahkan keunggulannya apabila menewaskan sembilan pencabar lain untuk muncul juara acara kemuncak Bidar 30 Pengkayuh Lelaki Raja Sungai Kategori Antarabangsa, sekali gus dinobatkan sebagai Raja Sungai Regatta Sejijak Kuching Sarawak 2026.
Kemenangan itu membolehkan pasukan Todak Berjaya membawa pulang piala, gelaran Raja Sungai serta hadiah wang tunai berjumlah RM20,000 selepas mempamerkan kayuhan bertenaga dan konsisten dalam perlumbaan paling berprestij kejohanan berkenaan.
Pasukan Sinaran Ratu Siska 1 pula muncul naib juara sekali gus membawa pulang piala dan hadiah wang tunai RM8,000, manakala GP Pantai Damai Binladen 78 melengkapkan kedudukan tiga terbaik dengan membawa pulang piala serta hadiah wang tunai RM5,000.
Todak Berjaya turut meneruskan rentak cemerlang apabila muncul juara acara Bidar 30 Raja Sungai Kategori Tempatan, mengatasi GP Pantai Damai Binladen di tempat kedua, manakala Landas menamatkan perlumbaan di kedudukan ketiga.
Sementara itu, bagi acara Bidar 7 Pengkayuh Lelaki Tertutup Akhir, pasukan KTDB muncul juara selepas mengatasi Merpati Putih 2, manakala Keris Terbang menamatkan saingan di tempat ketiga.
Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof menyempurnakan Majlis Penutupan Regatta Sejijak Kuching Sarawak 2026 sebelum menyampaikan hadiah kepada para pemenang serta menyaksikan perlumbaan akhir kategori Raja Sungai yang menjadi acara kemuncak kejohanan.
Menurutnya, sambutan yang terus menggalakkan saban tahun membuktikan Regatta Sejijak kekal relevan dan terus mendapat tempat dalam kalangan masyarakat, sekali gus mencerminkan kecintaan rakyat Sarawak terhadap warisan sukan air tradisional.
"Regatta Sejijak merupakan acara tahunan bagi Kampung Sejijak yang menghimpunkan penyertaan penduduk dari dalam dan sekitar kampung ini. Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada jawatankuasa penganjur serta semua pihak yang telah menjayakan penganjuran kali ini,” katanya ketika ditemui selepas majlis penutupan pada Ahad.
Penganjuran Regatta Sejijak Kuching Sarawak 2026 yang berlangsung selama tiga hari berjaya menghimpunkan penyertaan pasukan dari seluruh Sarawak serta luar negara, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara kejohanan lumba perahu tradisional berprestij di negeri ini.
Selain menjadi medan mencungkil bakat baharu dalam sukan lumba perahu, kejohanan tersebut terus memainkan peranan penting dalam memelihara warisan budaya, memperkukuh perpaduan masyarakat serta merancakkan sektor pelancongan dan ekonomi setempat.-EDISI UKAS