Program SKS Sibu 2026 Catat Rekod, Labuh Tirai Dengan Kehadiran 101,030 Pengunjung
SIBU: Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Sibu 2026 melabuhkan tirainya dengan kejayaan membanggakan apabila merekodkan kehadiran keseluruhan 101,030 pengunjung sepanjang tiga hari penganjurannya.
Pencapaian setakat jam 5 petang itu bukan sahaja jauh mengatasi sasaran awal 30,000 pengunjung, malah membuktikan pendekatan Kerajaan Sarawak mendekati rakyat menerusi penyampaian perkhidmatan secara terus terus mendapat sambutan yang amat menggalakkan.
Selain kehadiran memberangsangkan, program yang berlangsung di Dataran Tun Tuanku Haji Bujang itu turut mencatatkan nilai jualan keseluruhan sebanyak RM444,632.60 menerusi segmen Sibu Kitchen & Sales, sekali gus memberi limpahan manfaat kepada usahawan tempatan.
Majlis penangguhan program disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya merangkap Ahli Parlimen Bintulu dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong, Dato Sri Tiong King Sing.
Hadir sama Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) merangkap Pengerusi Jawatankuasa SKS Bahagian Sibu, Sarikei, Mukah dan Betong, Datu Hii Chang Kee, Residen Bahagian Sibu, Superi Awang Said serta ketua-ketua jabatan dan ketua masyarakat.
Berdasarkan rekod Sekretariat SKS, program itu merekodkan kehadiran 21,566 pengunjung pada hari pertama, diikuti 44,528 pengunjung pada hari kedua dan 34,936 pengunjung pada hari terakhir, menjadikan jumlah keseluruhan seramai 101,030 pengunjung.
Sepanjang penganjurannya, pelbagai kementerian, jabatan dan agensi kerajaan berhimpun di bawah satu bumbung bagi memudahkan rakyat mendapatkan perkhidmatan, maklumat serta pelbagai inisiatif kerajaan dengan lebih mudah dan pantas.
Hari terakhir program berlangsung dalam suasana meriah dengan pelbagai aktiviti yang mendapat penyertaan masyarakat pelbagai peringkat umur, termasuk Senamrobik, Fun Run sejauh 3.5 kilometer, Fun Walk sejauh 2.5 kilometer, Aerobicthon Challenge 2026, SKS Treasure Hunt, Wall Climbing Challenge, Sibu Strongman Championship 2026 serta acara sukan tradisional seperti menyumpit dan tarik tali.
Pengunjung turut disajikan dengan pelbagai pengisian menarik termasuk Pertandingan Gubahan Pulut, Mini Pentas Hiburan dan Sibu Kitchen Star Search yang menambahkan lagi kemeriahan suasana pada hari terakhir.
Majlis penangguhan itu turut menyaksikan pengumuman pemenang hadiah utama e-Peraduan sebelum tirai Program SKS Sibu 2026 dilabuhkan secara rasmi.
Hadiah utama e-Peraduan iaitu skuter elektrik dimenangi oleh Mohamad Fekrie Barstani @ Bostari dari Pasai Siong, Sibu.-EDISI UKAS