Premier Sarawak Sumbang RM5 Juta Wujudkan Dana Endowmen Persatuan Bekas Pelajar Kolej Tanjung Lobang
KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg mengumumkan sumbangan RM5 juta bagi mewujudkan Dana Endowmen Persatuan Bekas Pelajar Kolej Tanjung Lobang.
Menurutnya, dana endowmen itu perlu diurus secara berhemah dengan strategi pelaburan yang berdisiplin bagi menjamin pulangan berterusan untuk manfaat alumni dan masyarakat.
“Saya percaya profesional banyak, ahli ekonomi banyak, akauntan banyak, usahawan banyak, profesional banyak.
“Jadi pada malam ini, saya memberikan dana endowmen kepada anda sebanyak RM5 juta dan jika anda menguruskannya dengan baik, insya-Allah ia akan berkekalan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis ‘Reunion’ Dan Makan Malam Amal Persatuan Bekas Pelajar Kolej Tanjung Lobang di sebuah hotel terkemuka, di sini, pada Sabtu.
Premier Sarawak menambah, dana endowmen itu boleh dimanfaatkan bagi menganjurkan forum ilmiah yang menghimpunkan golongan muda dan masyarakat untuk berkongsi idea serta meningkatkan kefahaman mengenai perubahan landskap ekonomi semasa.
Jelasnya, penganjuran aktiviti yang ilmiah mampu memberi gambaran terkini di dunia kepada masyarakat Sarawak sekali gus mencapai objektif untuk membantu generasi muda dan masyarakat dalam era baharu.
Dalam pada itu, Datuk Patinggi Abang Zohari menggesa agar bekas pelajar Tanjung Lobang supaya berkongsi pengalaman dan kejayaan mereka dengan generasi muda agar menjadi sumber inspirasi serta motivasi.
Beliau berkata ilmu dan pengalaman yang dimiliki alumni mampu membantu generasi baharu meneroka peluang baharu selaras dengan perubahan pesat dalam ekonomi global.
Hadir sama, anakanda kepada Premier Sarawak Dayang Norjihan Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, barisan Timbalan Menteri Sarawak dan Persekutuan serta dif kenamaan lain. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: George Embie