Penglibatan Komuniti Perkukuh Budaya Keselamatan Awam
MIRI: Penglibatan aktif komuniti dalam program anjuran agensi penyelamat terus menjadi elemen penting dalam memperkukuh budaya keselamatan awam serta meningkatkan kesiapsiagaan masyarakat menghadapi situasi kecemasan.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, hubungan erat antara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dengan masyarakat perlu terus diperkasakan bagi meningkatkan kefahaman orang ramai terhadap aspek pencegahan kebakaran, keselamatan awam dan tindak balas kecemasan.
“Program seperti ini membuktikan bahawa perkhidmatan bomba bukan hanya tertumpu kepada operasi menyelamat dan kecemasan, malah berperanan mendekati masyarakat melalui pelbagai aktiviti yang mampu meningkatkan kesedaran terhadap aspek keselamatan serta memperkukuh kerjasama dengan komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Hari Terbuka dan Majlis Riang Ria Bersama Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong di sini, pada Ahad.
Dalam pada itu, Dato Sri Lee berkata, pendekatan Hari Terbuka memberi peluang kepada masyarakat mengenali fungsi serta tanggungjawab anggota bomba dengan lebih dekat, sekali gus meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap perkhidmatan yang disediakan.
Beliau berkata, sambutan menggalakkan daripada masyarakat pelbagai kaum turut mencerminkan semangat perpaduan dan kerjasama yang menjadi kekuatan Sarawak dalam mewujudkan persekitaran yang selamat, harmoni dan kondusif.
Dato Sri Lee turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga BBP Lutong atas komitmen mereka melaksanakan pelbagai program kemasyarakatan walaupun balai berkenaan hanya mempunyai 24 anggota yang memberi perkhidmatan kepada kawasan Senadin, Kuala Baram, Permyjaya, Tudan, Sealine-Merikan dan Pulau Melayu.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lutong, Pegawai Bomba Tinggi II Henry Jugah berkata, program berkenaan merupakan hari terbuka pertama dianjurkan sejak BBP Lutong mula beroperasi tiga tahun lalu.
Katanya, penganjuran itu bertujuan membuka ruang kepada masyarakat mengenali operasi balai dengan lebih dekat, di samping memupuk semangat kerjasama antara anggota bomba, agensi kerajaan, media dan komuniti setempat.
Program tersebut turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti termasuk pertandingan memancing, sukaneka, pertandingan mewarna kanak-kanak serta Jualan Rahmah MADANI, sekali gus menjadikan BBP Lutong sebagai platform interaksi antara agensi kerajaan dan masyarakat.-EDISI UKAS