Kesukarelawanan Perkukuh Kesiapsiagaan Bencana, Pembangunan Komuniti
MIRI: Budaya kesukarelawanan perlu terus diperkasakan sebagai elemen penting dalam memperkukuh kesiapsiagaan bencana, meningkatkan kesedaran kesihatan awam serta membina masyarakat yang lebih prihatin, bersatu padu dan berdaya tahan.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, organisasi sukarelawan seperti Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) memainkan peranan penting sebagai rakan strategik kerajaan dalam melengkapkan usaha penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat, khususnya ketika berdepan bencana dan situasi kecemasan.
“Kerajaan sentiasa menghargai peranan organisasi sukarelawan seperti Bulan Sabit Merah Malaysia yang menjadi rakan strategik dalam memperkukuh kesiapsiagaan bencana, meningkatkan kesedaran kesihatan awam, membantu golongan yang memerlukan serta memupuk perpaduan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Hari Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Sedunia 2026 Peringkat Miri bertemakan ‘United in Humanity’ (Bersatu Dalam Kemanusiaan) di Padang Majlis Bandaraya Miri, pada Ahad.
Beliau berkata, komitmen anggota BSMM yang sentiasa tampil menghulurkan bantuan tanpa mengira bangsa, agama atau latar belakang membuktikan bahawa nilai kemanusiaan sentiasa mengatasi segala perbezaan.
Menurut beliau, penglibatan golongan belia dalam aktiviti kesukarelawanan wajar terus diperkasa kerana pendedahan kepada latihan pertolongan cemas, pengurusan bencana dan khidmat kemasyarakatan mampu melahirkan generasi yang berdisiplin, berintegriti, berjiwa kepimpinan serta mempunyai rasa tanggungjawab yang tinggi terhadap masyarakat.
“Kemahiran pertolongan cemas, pengurusan bencana dan khidmat kemasyarakatan yang dipelajari hari ini merupakan aset penting dalam melahirkan generasi yang bersedia berbakti kepada masyarakat pada masa hadapan,” ujarnya.
Dato Sri Lee turut merakamkan penghargaan kepada pegawai, guru penasihat, ibu bapa dan sukarelawan yang terus komited membimbing generasi muda menghayati tujuh Prinsip Asas Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa, iaitu Kemanusiaan, Kesaksamaan, Berkecuali, Kebebasan, Khidmat Sukarela, Ketunggalan dan Kesejagatan sebagai asas dalam membentuk masyarakat yang penyayang dan berdaya tahan.
Sambutan itu turut menyaksikan penyampaian hadiah pertandingan kawad kaki dan pakaian seragam.
SK Jalan Bintang muncul johan kategori Pasukan Ahli Muda serta johan keseluruhan, manakala SMK Chung Hua Miri menjuarai kategori Pasukan Kadet.
Sunflower Centre pula menerima pengiktirafan bagi kategori Pasukan Khas.-EDISI UKAS