Lawatan Ke Parlimen Perkukuh Kompetensi Pengamal Media
KUALA LUMPUR: Lawatan ke Parlimen Malaysia menjadi platform memperkukuh kompetensi pengamal media menerusi pendedahan secara langsung terhadap sistem legislatif, tadbir urus negara dan institusi pentadbiran, sekali gus meningkatkan kualiti pelaporan mengenai dasar serta pembangunan negara.
Seramai 24 ahli Persatuan Wartawan Sarawak Utara (NSJA) menyertai program lawatan sambil belajar ke Kuala Lumpur dan Putrajaya dari 8 hingga 11 Julai, bagi memperluaskan pengetahuan mengenai fungsi institusi negara serta memperkukuh profesionalisme kewartawanan.
Delegasi yang diketuai Presidennya, Chai Chon Chin, terdiri daripada wartawan daripada pelbagai organisasi media di Miri.
Sepanjang lawatan, rombongan mengadakan kunjungan rasmi ke Parlimen Malaysia dan mengikuti taklimat mengenai struktur, fungsi serta peranan institusi legislatif negara sebelum dibawa melawat Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
Pendedahan tersebut memberi peluang kepada peserta memahami proses penggubalan undang-undang, fungsi semak dan imbang Parlimen serta mekanisme pentadbiran negara, sekali gus memperkukuh keupayaan pengamal media menghasilkan laporan yang lebih tepat, berwibawa dan berasaskan fakta.
Selain Parlimen Malaysia, rombongan turut mengadakan lawatan ke Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), Kompleks Kraf Kuala Lumpur (Kraftangan Malaysia) dan Balai Seni Negara bagi meninjau usaha pemeliharaan warisan, pembangunan industri kreatif serta peranan sektor pelancongan dalam menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Lawatan berkenaan turut membuka ruang kepada peserta menambah pengetahuan mengenai dasar pembangunan sektor pelancongan, kebudayaan dan seni negara, sekali gus memperluaskan perspektif dalam menghasilkan laporan yang lebih komprehensif mengenai pelbagai sektor strategik.
Program tersebut mencerminkan komitmen NSJA dalam memperkukuh pembangunan profesional ahlinya menerusi pendedahan kepada institusi penting negara, selaras dengan keperluan memperkasakan kewartawanan yang berintegriti, berpengetahuan dan responsif terhadap perkembangan semasa.-EDISI UKAS