Pengakap Sarawak Perluas ‘Community-Based Scouting’ Perkasa Pembangunan Belia
PAKAN: Majlis Pengakap Sarawak terus memperkukuhkan usaha pembangunan belia menerusi pelaksanaan inisiatif ‘Community-Based Scouting’ dan ‘Friends of Scouting’ yang memberi penekanan kepada penglibatan menyeluruh masyarakat dalam membentuk generasi berdisiplin, berintegriti dan berjiwa sukarelawan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan, Tan Sri William Mawan Ikom berkata, kejayaan membangunkan golongan muda tidak boleh diserahkan sepenuhnya kepada institusi pendidikan atau pemimpin Pengakap, sebaliknya memerlukan komitmen serta kerjasama semua pihak.
“Ibu bapa, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK), agensi kerajaan, sektor swasta serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu memainkan peranan sebagai rakan strategik dalam membimbing belia agar menjadi individu berakhlak mulia, berdaya tahan dan bersedia menyumbang kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ngiling Bidai Pengakap Sarawak 2026 Bahagian Sarikei yang berlangsung di Dewan Masyarakat Pakan, pada Ahad.
Tan Sri William berkata, Pergerakan Pengakap kini memainkan peranan yang lebih luas dan tidak lagi tertumpu kepada aktiviti perkhemahan serta latihan kemahiran asas kepengakapan semata-mata, malah menjadi platform penting dalam melahirkan generasi muda yang mempunyai disiplin tinggi, semangat kepimpinan, integriti serta tanggungjawab sosial.
Katanya, Pakan dipilih sebagai lokasi memperluaskan pendekatan ‘Community-Based Scouting’ berikutan kekuatan semangat kejiranan, budaya gotong-royong dan kerjasama komuniti yang masih utuh dalam kalangan penduduk setempat.
Sehubungan itu, beliau menyeru KMKK supaya menggalakkan lebih ramai belia menyertai Pergerakan Pengakap selain menyokong pelaksanaan pelbagai program kemasyarakatan bagi memperkukuhkan perpaduan dan pembangunan komuniti.
Tambah beliau, inisiatif tersebut yang mula diperkenalkan di Serian pada 2024 sebelum diperluaskan ke Bintulu pada awal tahun ini menunjukkan perkembangan positif dan diyakini mampu menjadi pemangkin kepada pembentukan modal insan berkualiti di Sarawak.
Beliau berharap pendekatan itu akan terus memperkukuh peranan Pergerakan Pengakap sebagai platform pembangunan belia yang relevan dalam melahirkan generasi berdaya saing serta bersedia menghadapi cabaran masa depan.- EDISI UKAS