Ngiling Bidai Pengakap Sarawak Perkukuh Perpaduan Masyarakat Berbilang Kaum
PAKAN: Majlis Ngiling Bidai Pengakap Sarawak 2026 Bahagian Sarikei menjadi platform memperkukuhkan perpaduan serta mengeratkan hubungan masyarakat berbilang kaum melalui penghayatan budaya, semangat kebersamaan dan penglibatan aktif komuniti.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan, Tan Sri William Mawan Ikom berkata, penganjuran program seumpama itu membuktikan keharmonian dalam masyarakat dapat dipupuk menerusi aktiviti bersama yang menggalakkan persefahaman, kerjasama serta budaya saling menghormati.
“Perpaduan yang kukuh tidak terbina melalui slogan atau ucapan semata-mata, sebaliknya lahir daripada interaksi, pengalaman dan kerjasama yang dikongsi oleh rakyat daripada pelbagai kaum, agama dan latar belakang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ngiling Bidai Pengakap Sarawak 2026 Bahagian Sarikei yang berlangsung di Dewan Masyarakat Pakan, pada Ahad.
Tan Sri William berkata, Sarawak bertuah kerana memiliki kepelbagaian kaum, bahasa, budaya dan agama yang menjadi kekuatan utama dalam mengekalkan keharmonian, kestabilan serta kemajuan negeri.
Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh masyarakat agar terus menghargai budaya sendiri di samping menghormati adat resam dan tradisi kaum lain supaya semangat perpaduan yang dinikmati hari ini dapat terus dipelihara untuk generasi akan datang.
Beliau turut memaklumkan bahawa Majlis Pengakap Sarawak sentiasa mengamalkan pendekatan inklusif dengan meraikan pelbagai perayaan utama termasuk Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Deepavali, Krismas dan Hari Gawai sebagai simbol penghormatan terhadap kepelbagaian budaya di negeri ini.
Dalam pada itu, Tan Sri William merakamkan penghargaan kepada jawatankuasa penganjur serta semua pihak yang menjayakan Majlis Ngiling Bidai Pengakap Sarawak 2026 Bahagian Sarikei melalui semangat kerjasama dan kesukarelawanan yang tinggi.
Katanya, program seperti itu bukan sahaja mengeratkan hubungan dalam kalangan warga Pengakap, malah menjadi medium menyatukan masyarakat dan memperkasakan semangat kekitaan yang menjadi asas kepada kemajuan serta kemakmuran Sarawak.- EDISI UKAS