SKS Sibu Lonjak Jualan Usahawan, Ada Raih RM15,000 Dalam Dua Hari
SIBU: Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Sibu 2026 di Dataran Tun Tuanku Bujang bukan sahaja menjadi platform penyampaian perkhidmatan kerajaan, malah turut merancakkan ekonomi usahawan tempatan apabila ramai peniaga merekodkan jualan memberangsangkan sepanjang penganjurannya.
Bagi usahawan, Suhida Shapi-ee, 37, yang berniaga di Sibu Kitchen and Sales menyifatkan sambutan luar biasa daripada pengunjung membolehkan beliau mencatatkan rekod jualan yang amat menggalakkan dalam tempoh dua hari pertama program.
“Semalam sahaja (Sabtu), hasil jualan kami berjaya mencecah RM11,000 dengan anggaran lebih 4,000 cawan cendol habis dijual dalam tempoh dua hari.
“Secara keseluruhan bagi Jumaat dan Sabtu, kami memperoleh sekitar RM15,000,” katanya ketika ditemui pada Ahad iaitu hari terakhir program tersebut.
Selain menjual Cendol Gula Apong yang menggunakan resipi turun-temurun keluarga, gerainya turut menawarkan minuman tradisional masyarakat Cina Sibu, Wan Chin Sui, yang diberi sentuhan moden menerusi variasi perisa lemon.
Mengulas penganjuran SKS, beliau menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak kerana inisiatif jelajah itu bukan sahaja mendekatkan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat, malah memberi limpahan ekonomi secara langsung kepada usahawan tempatan.
Sementara itu, pengusaha kuih tradisional, Wati Osman, turut mengakui sambutan yang diterima sepanjang program berlangsung jauh melebihi jangkaannya.
Beliau menjelaskan, jualan kuih penyaram goreng panas di tapak jualan K8 mendapat sambutan berterusan sehingga lewat malam sehingga menyebabkan beliau dan pasukannya tidak menang tangan memenuhi permintaan pelanggan.
“Pada hari pertama kami meraih RM500, manakala hari kedua dan ketiga masing-masing mencatatkan jualan melebihi RM1,000 sehari.
“Ini merupakan pulangan tertinggi pernah kami terima sepanjang bergelar usahawan kecil,” katanya sambil memaklumkan sebanyak 10 kilogram gula apong digunakan setiap hari bagi menghasilkan adunan kuih tersebut.
Menurut Wati, keprihatinan pihak penganjur dalam menjaga kebajikan serta membantu menyelesaikan isu yang dihadapi usahawan sepanjang program berlangsung turut menyumbang kepada kelancaran operasi perniagaan mereka.
Beliau berharap Program Sarawakku Sayang akan diteruskan pada masa hadapan kerana terbukti memberi manfaat bukan sahaja kepada rakyat yang mendapatkan perkhidmatan kerajaan, malah kepada usahawan tempatan yang berpeluang meningkatkan pendapatan menerusi platform tersebut.-EDISI UKAS