Makmal Kajian Nilai Perhalusi Pembinaan Pusat Latihan RELA Sarawak
KUCHING: Projek pembinaan Pusat Latihan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Sarawak memasuki fasa penting apabila Majlis Penutup dan Sesi Sign-Off Makmal Kajian Nilai (VA) diadakan bagi memuktamadkan dapatan serta syor hasil penilaian projek tersebut.
Makmal Kajian Nilai yang diadakan di Hotel 56 Kuching itu bertujuan menilai dan mengoptimumkan skop pembangunan projek agar memenuhi keperluan operasi, keberkesanan kos serta memberi nilai terbaik kepada kerajaan.
Makmal tersebut berlangsung dari 7 hingga 9 Julai selepas lawatan tapak projek di Sematan pada 6 Julai lalu, melibatkan pakar pelbagai bidang bagi memperhalusi perancangan dan mengenal pasti keperluan sebenar projek.
Sesi sign-off yang diadakan menandakan persetujuan bersama terhadap dapatan dan syor yang dipersetujui sepanjang pelaksanaan makmal, sekali gus memastikan projek pembinaan Pusat Latihan RELA Sarawak dapat dilaksanakan secara lebih sistematik, efisien dan berimpak tinggi.
Majlis penutupan disempurnakan dengan kehadiran wakil daripada Kementerian Ekonomi, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Jabatan Kerja Raya (JKR).
Antara yang hadir ialah Pengarah Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam Kementerian Ekonomi, Mohd Zahrain Mohd Nor; Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Pembangunan KDN, Muhammad Harzi Shah Pahruddin; Pengarah Bahagian Kewangan dan Pembangunan RELA, PjKR Krishnasamy Raman; Jurutera Awam Penguasa Kanan Cawangan Kerja Keselamatan JKR, Ir. Ramendra Loganathan serta Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Nilai Kementerian Ekonomi, Muhd Sharul Nizam Abdul Hamid selaku Ketua Fasilitator.
Turut hadir ialah Pengarah RELA Negeri Sarawak Abang Zulfikar Abang Raduan, Pengarah-pengarah Bahagian Ibu Pejabat RELA Malaysia, Timbalan Pengarah RELA Negeri Sarawak, pegawai serta kakitangan RELA Sarawak, selain wakil KDN dan urus setia yang terlibat.-EDISI UKAS